SANUSI DESAK PERUBAHAN BESAR FAM
Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menggesa semua perwakilan persatuan bola sepak yang menjadi ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berani melakukan perubahan besar dalam kepimpinan badan induk itu demi mengembalikan kegemilangan bola sepak tempatan.
Menurut Menteri Besar Kedah itu, FAM perlu kembali menentukan hala tuju bola sepak negara tanpa dipengaruhi atau mengikut telunjuk mana-mana pihak, selain menyusun semula dasar yang lebih mengutamakan kepentingan bola sepak dan pemain tempatan.
“Saya menyeru kepada semua perwakilan yang mewakili negeri-negeri dan persatuan-persatuan bola sepak yang menjadi ahli gabungan FAM supaya melakukan satu perubahan besar dalam kepimpinan FAM.
“FAM tidak perlu ikut telunjuk sesiapa. Bincanglah betul-betul.
“Yang berlaku beberapa tahun ni, bola sepak bukan ditentukan oleh persatuan-persatuan sukan atau ahli-ahli gabungan FAM, tetapi ditentukan oleh orang lain dan mereka ikut saja keputusan, seolah tiada pendirian. Buat keputusan bukan untuk kepentingan bola sepak tetapi untuk kepentingan orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Kedah Young Leadership Development Programme 2026, di sini, hari ini.
Sanusi berkata, bola sepak negara perlu kembali menjadi sukan rakyat, bukannya industri yang terlalu bergantung kepada pemain import sehingga menyebabkan pemain tempatan semakin terpinggir.
Katanya, kelonggaran membolehkan pasukan mendaftarkan sehingga 15 pemain import, ditambah pemain naturalisasi, menimbulkan persoalan mengenai masa depan pemain tempatan.
“FAM ini Persatuan Bolasepak Malaysia, bukan Persatuan Bolasepak Antarabangsa. Bola sepak kita untuk rakyat negara ini atau untuk orang lain? Semua pasukan boleh daftar sampai 15 pemain import. Kalau tidak cukup pemain import, pemain naturalisasi pula diberi.
“Lama-lama sukan bola sepak ini untuk rakyat tempatan atau untuk siapa?” soalnya.
Sanusi menyifatkan keadaan itu seperti ‘Pak Kadok menang sorak, kampung tergadai’, apabila kejayaan pasukan diraikan tetapi pemain yang mengangkat piala terdiri daripada warga asing.
Katanya, keutamaan sepatutnya diberikan kepada pemain tempatan supaya wang yang dibelanjakan dalam industri bola sepak terus beredar dalam ekonomi negara.
“Bola sepak guna duit banyak. Tiap-tiap persatuan cari merata macam KFA, cari duit, dapat sumbangan. Akhirnya duit itu pergi mana? Dihantar ke tukaran wang asing oleh pemain import yang dibayar mahal-mahal.
“Kita nak duit beredar dalam negara, yang dikutip daripada rakyat, jualan tiket, penajaan dan sebagainya dapat kepada pemain kita semula,” katanya.
Beliau berkata, pemain tempatan yang bertungkus-lumus dalam bola sepak wajar diberikan peluang, gaji setimpal serta pendedahan untuk meningkatkan pengalaman dan kualiti permainan.
“Bolehlah dua tiga orang pemain import, tidak perlu 15 orang. Bola main 11 orang sahaja. Boleh turun tujuh orang, separuh padang itu sudah pemain import.
“Berilah anak tempatan bermain. Bayarlah gaji setimpal. Kita ada kualiti,” katanya.
Menurut Sanusi, kebergantungan keterlaluan kepada pemain import dan kos pengurusan yang tinggi turut menyebabkan peminat semakin menjauhkan diri daripada stadium, manakala penaja pula tidak lagi berminat menyokong pasukan.
“Sekarang orang tidak mahu pergi stadium, penaja pun tidak mahu bagi. Jadi macam mana nak hidup? Sebab mereka nampak bola ini bukan untuk kita, bola ini untuk pihak-pihak tertentu,” katanya.
Sanusi turut mengingatkan kepimpinan FAM supaya tidak terlalu mengejar imej atau mahu meniru model liga luar negara sehingga membebankan persatuan dan pasukan tempatan.
“Kalau dah mahal sangat gaji puluh-puluh ribu, orang lain tidak boleh ikut, lingkup habis. Jadi tidak usahlah, cukuplah. Konsep model bola sepak biarlah 2026, tetapi ukurlah baju di badan sendiri. Bola sepak tempatan untuk orang tempatan, bukan untuk orang luar,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia pernah mempunyai pasukan yang berjaya layak ke Sukan Olimpik dengan pemain tempatan, namun kini pencapaian di pentas antarabangsa semakin sukar dicapai.
“Kita pernah masuk Olimpik, semua pemain tempatan. Sekarang semua piala tidak boleh capai, Olimpik, AFC, Suzuki. Anak tempatan tidak ada tempat. Semua pemain import sebab nak glamour, nak popular,” katanya.
Sehubungan itu, Sanusi berharap pemilihan kepimpinan FAM kali ini menyaksikan perwakilan mempunyai keberanian menentukan sendiri hala tuju bola sepak negara dan tidak takut membuat keputusan yang mungkin tidak popular.
“Kalau sayang bola sepak, buatlah perubahan. Kita tentukan sendiri. Kita merakyatkan kembali sukan bola sepak,” katanya.
FAM dijadual mengadakan Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi baki penggal 2025-2029 pada Kongres Luar Biasa FAM Kedua 2026 yang akan berlangsung pada 17 September ini.

1 Comments
Bayaq gaji pemain KEDAH dulu. Duk sibuk meratib FAM buat apa. Tu ayaq belah Sg Petani tu kerap catu. Settle la dulu.
ReplyDelete