JADIKAN PRN MELAKA MEDAN PERMULAAN RUNDINGAN KERUSI UMNO-PAS

 

“BUKTIKAN KESUNGGUHAN KERJASAMA”

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Melaka wajar dijadikan medan permulaan rundingan kerusi antara UMNO dan PAS sebagai menguji kesungguhan kerjasama kedua-dua parti, bukannya sekadar mahu menguji keikhlasan PAS.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ruang rundingan perlu diperluaskan dengan mengambil kira pertukaran kerusi antara negeri, termasuk kemungkinan UMNO diberikan kerusi di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis sebagai pertukaran kepada kerusi yang diberikan kepada PAS di Melaka.

“Melaka akan menjadi medan ujian untuk UMNO. Saya dah cadang sebelum ini, jangan tengok Melaka sebagai medan untuk runding dalam kotak itu sahaja. Bukalah kotak itu bagi luas supaya lebih mudah berunding. Saya harap cadangan itu diterima.

“Kalau ke depan (pilihan raya), UMNO nak ke Kedah, Kelantan dan Terengganu, tentulah mereka nak kerusi. Jadi bukalah kerusi di Melaka.

“Kalau UMNO bagi PAS kerusi di Melaka, mungkin negeri-negeri ini (SG 4) boleh beri sebagai ganti balik tempat itu. Contoh, Kedah beri satu kerusi, Kelantan satu, Terengganu satu dan Perlis satu, bagi kepada UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Kedah Young Leadership Development Programme 2026, di sini, hari ini.

Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkata, rundingan secara lebih terbuka perlu dilakukan kerana sekiranya hanya melihat PRN Melaka sebagai ruang untuk PAS dan UMNO bertukar kerusi, ia akan menyukarkan usaha mencapai persetujuan.

“Ni contoh saya kata perbesarkan petak itu. Kalau nak runding dengan Melaka sahaja, susahlah. Kerusi yang jadi tempat parti-parti Melayu bertanding ada 24. Empat lagi itu bolehlah lawan, tetapi susah nak menang sebab DAP dominan.

“Yang boleh menang ada 24, BN miliki 21. Lagi tiga boleh dibuka untuk parti lain. Kalau bagi lagi empat, bolehlah bincang, runding,” katanya.

Bagaimanapun, Sanusi tegaskan, cadangan itu bukan bermaksud UMNO perlu memberikan separuh daripada jumlah kerusi kepada PAS atau pembahagian kerusi sama banyak antara kedua-dua parti.

Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyarankan supaya PRN di salah sebuah negeri dalam gabungan SG4, khususnya Terengganu, dijadikan medan menguji keikhlasan PAS dalam kerjasama politik dua parti itu.

Sanusi bagaimanapun menyifatkan cadangan itu tidak munasabah.

“UMNO kata nak uji keikhlasan PAS, buat PRN. Bagi saya, itu tak masuk akal sebab sebelum ini mana ada UMNO bagi kerusi kepada PAS.

“Kita berunding, berpakat beri undi kepada calon yang mewakili dua parti, tetapi bagi kerusi bertanding, tak ada.

“Di Negeri Sembilan, tak ada bagi kerusi kepada PAS, kita tanding kerusi sedia ada incumbent,” katanya.

Menurut Sanusi, kerjasama politik perlu berasaskan prinsip ‘give and take’, bukan hanya mengharapkan satu pihak memberi ruang kepada pihak lain.

“Perpaduan ummah perlu melibatkan semua orang. Jangan libatkan dua parti sahaja, rugi. Parti lain ada lagi, jadi panggillah.

“Ketetapan itu PAS pegang sejak Muafakat Nasional (MN) dulu. Libatkan semua orang yang mahu kepada perpaduan ummah. Jangan libatkan dua parti, orang lain tak mahu. Tak betul, konsep itu menyempitkan ummah.

“Perpaduan ummah adalah wajib, berpecah itu haram. Jadi nak berpakat perlu give and take. Jangan nak take sahaja, give tak mahu,” katanya.

Dalam pada itu, Sanusi jelaskan, soal pembahagian kerusi membabitkan PAS bukan diputuskan di peringkat negeri sebaliknya bawah bidang kuasa PAS Pusat.

Katanya, PAS negeri hanya boleh membawa cadangan dan justifikasi untuk dipertimbangkan dalam rundingan di peringkat Pusat.

“Negeri runding, bawa ke Pusat. Tak ada keputusan dibuat di sini. Negeri tak ada prerogatif menentukan kerusi.

“Cuma kita boleh bincang. Nak pertahankan kerusi itu, kita berilah justifikasi kenapa nak kerusi ini, antaranya jentera ramai, calon, persiapan kerja dan penyandang. Itu benda-benda yang menjadi asas perundingan,” katanya.

Ditanya sama ada PAS Kedah bersedia memberikan kerusi kepada UMNO di negeri itu, Sanusi berkata, perkara tersebut juga perlu dilihat dalam kerangka rundingan yang lebih luas.


“Sebab itu saya kata perlu buka medan lebih luas. Tempat kita tak ada kerusi, UMNO bagi. Tempat UMNO tak ada, kita bagi. Takkan lah tak mahu bagi, tapi nak hak orang. Macam mana tu?” katanya.

Post a Comment

0 Comments