KHTP PERLU TERUS BERKEMBANG, TAWAR LEBIH BANYAK PELUANG KERJAYA BERTEKNOLOGI TINGGI

 

Oleh: Roslinda Hashim 

KULIM - Kulim Hi-Tech Park (KHTP) perlu terus berkembang bagi membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda Kedah membina kerjaya dalam bidang berteknologi tinggi.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pengembangan KHTP bukan sekadar untuk menarik pelaburan, sebaliknya memastikan rakyat tempatan turut menikmati manfaat menerusi peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, pemindahan teknologi dan pembangunan kepakaran.

“Harapan saya, KHTP akan terus berkembang dan membawa lebih banyak peluang kepada Kedah, khususnya kepada generasi muda untuk membina kerjaya dalam bidang-bidang berteknologi tinggi.

“Kita mahu apabila nama KHTP disebut di peringkat antarabangsa, kita bukan sahaja bangga dengan pelaburan yang masuk. Kita juga boleh bangga kerana di sebalik pembangunan itu, rakyat kita turut menerima manfaat bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena program ‘KHTP Unity Fun Walk 2026’, di sini, hari ini.

Sanusi memaklumkan, KHTP kini mempunyai kira-kira 45,000 pencari rezeki, dan jumlah itu dijangka meningkat sehingga 60,000 orang apabila pembangunan KHTP Fasa 5 beroperasi tidak lama lagi.

Tambah beliau, sepanjang tempoh KHTP dibangunkan, sebanyak RM189.4 bilion pelaburan telah dibawa masuk ke taman perindustrian berteknologi tinggi itu, membabitkan pelabur dari pelbagai negara.

“Ini satu pencapaian cukup membanggakan untuk Kulim dan juga Kedah. Namun, kejayaan KHTP bukan sekadar pada angka pelaburan sebanyak RM189 bilion itu.

“Yang lebih penting apa yang datang bersama pelaburan itu untuk membawa kehidupan yang lebih baik bagi kita semua,” katanya.

Menurut Sanusi, kemajuan industri perlu disertai pemindahan teknologi dan kepakaran kepada anak tempatan, termasuk dalam sektor separa mahir dan berkemahiran tinggi.

Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan anak-anak Kedah bukan hanya mengisi pekerjaan sebagai operator biasa, sebaliknya berpeluang menjadi jurutera, juruteknik, penyelidik serta tenaga profesional dalam industri bertaraf dunia.

“Dengan itu ia akan membuka peluang untuk anak-anak kita mengisi pekerjaan yang berpendapatan tinggi, bukan semata-mata jadi operator biasa.

“Pertumbuhan KHTP turut membuka peluang perniagaan kepada masyarakat setempat sebagai pembekal bahan industri selain dalam sektor makanan dan perkhidmatan.

“Sebab itu saya melihat KHTP bukan sekadar sebuah kawasan industri, KHTP adalah antara nadi ekonomi negeri Kedah,” katanya.

Sanusi jelaskan, KHTP mula dibangunkan lebih 30 tahun lalu (1996) dengan matlamat mewujudkan taman perindustrian berteknologi tinggi yang terulung di negara ini dan Asia Tenggara.

“Kini ia berkembang dan menjadi antara nama yang dikenali dalam industri berteknologi tinggi dunia.

“Inilah komitmen dan tanggungjawab saya termasuk pemimpin terdahulu yang diberi amanah untuk berusaha membawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada rakyat Kedah,” katanya.

Dalam pada itu, Sanusi menyifatkan ‘KHTP Unity Fun Walk 2026’ yang berjaya mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai gambaran semangat penyatuan warga industri dan masyarakat pelbagai latar belakang.

Katanya, penyertaan warga industri, agensi kerajaan dan komuniti setempat daripada pelbagai bangsa, budaya serta negara mencerminkan semangat Hari Malaysia yang mahu diterapkan.

“Inilah keunikan KHTP, tak kira kita datang daripada syarikat mana, jawatan apa, bangsa atau negara mana, semua bersatu hati,” katanya.

Post a Comment

0 Comments