GULING MB SANUSI? BIAR SAYA JAWAB!

 

Oleh: Muhamad Mat Yakim

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah

Semalam bertalu-talu mesej masuk tanya sama ada benar Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan ‘digulingkan’ oleh seorang Exco dari Bersatu yang kononnya mendapat sokongan 5 ADUN PAS.

Kepada yang bertanya, saya jawab begini: “Soalan ini tak sepatutnya ditanya kerana jelas tak masuk akal langsung …” 

Tapi tak apalah, kerana ada yang bertanya, saya jawablah juga “tak betul”. 

Alasan diberi, mereka bertanya kerana sudah tular. “Dari tertanya-tanya, lebih baiklah bertanya”. Oklah!

Itulah, pada zaman ‘edan’ ini, benda yang tidak berasas pun mudah sangat tular. Benda yang tidak benar, menjalar jalar jadi fitnah. Yang peliknya, ia akhirnya diterima sebagai benar kerana zaman ini orang dah tak tahu nak beza apa yang benar dengan yang tidak benar!

Walaupun satu Malaya sudah tahu siapa Exco yang dimaksudkan, saya sengaja tidak mahu sebut namanya kerana tidak mahu memanjangkan fitnah. 

Saya juga tidak berasa perlu untuk call dia dan tanya “direct from the horse’s mouth” kerana tahu malah sangat yakin apa yang tular sama sekali tidak benar. 

Saya percaya untuk terlintas dalam hati pun dia tidak berani walaupun apa yang dia berani buat, orang lain termasuk saya sendiri pun tidak berani. 

Saya ada hubungan yang sangat baik dengan YB itu, dan hubungan dia sendiri dengan MB Sanusi juga adalah teramat baik.

Haaaa…. sebelum terlupa, saya nak peringatkan kepada si pencipta fitnah, “kalaupun nak buat kerja jahat… otak tu biaq cerdik sikit!”

Janganlah tiru bulat-bulat atau orang Kedah kata “ambik sebijik-sebijik” plot apa yang sudah berlaku di Perlis. 

“PN Kedah bergolak. Bersatu Kedah mendapat sokongan 5 ADUN PAS untuk pelantikan MB Kedah yang baru”

Selain ADUN PAS, saya  rapat dengan hampir kesemua ADUN Bersatu Kedah. Saya boleh tahu siapa orang Muhyiddin, siapa orang Hamzah dan siapa pula yang ‘play safe’. Walau siapa pun mereka, saya tahu mereka kesemuanya taat di bawah kepimpinan MB Sanusi sebagai ketua kerajaan negeri.

Tok Leh (alamak, tersebut juga) mai dari Kola Kedah, bukan Kola Perlih. 

Bagi ADUN-ADUN PAS Kedah pula, kalaulah sungguh ada yang mahu membelot MB Sanusi, bodoh sangatkah mereka untuk menilai kesan dan akibat setelah melihat apa yang baru sahaja berlaku di Perlis?

Inilah yang dikatakan sangat tidak masuk akal sekali gus menunjukkan kebodohan pihak yang mencipta dan menular cerita busuk ini.

Kalau 11 ADUN Bersatu pun saya percaya, semua 21 ADUN PAS Kedah apatah lagi? 

Kalau ada yang ditawarkan jawatan MB ganti MB Sanusi, hari ini ‘dioffer’ kelmarin lagi dia sudah tolak! 

Itupun ada yang percaya dan sebarkan juga termasuk ADUN Kota Darul Aman daripada DAP, Teh Swee Leong yang meletak poster tular itu di Facebook rasminya.

Orang politik, masih boleh diterima kerana apabila melihat sesuatu yang membawa laba politik, kadang kala jari boleh mendahului akal.

Apa yang menyedihkan saya ialah apabila media profesional Guang Ming Daily turut menyiarkan maklumat picisan itu sebagai salah satu beritanya.

Saya pernah berada di situ (media) selama 25 tahun dan hampir tiga tahun sebagai pengajar kewartawanan, ini adalah sesuatu yang cukup ironi bagi saya.

Bukan tidak boleh menyiarkan info yang tular tetapi ada caranya, iaitu tentukan apa yang auta dan apa pula faktanya. Bukan dengan menyogok auta untuk diterima oleh masyarakat sebagai fakta!

Apa lagi dengan memaparkan ayat “Goodbye Sanusi”.


Sangat biadab.

Post a Comment

0 Comments