MASIH TERLALU AWAL BINCANG AGIHAN KERUSI UMNO-PAS DI KEDAH

 

“BINA SUASANA POSITIF SEBELUM RUNDING”

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - PAS dan UMNO Kedah belum membincangkan isu pembahagian kerusi atau bentuk kerjasama rasmi dalam pertemuan sulung membabitkan kepimpinan kedua-dua parti itu.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pertemuan tersebut masih pada peringkat awal dan lebih menjurus kepada usaha membina suasana positif sebelum sebarang rundingan politik yang lebih serius dilakukan.

“Masih terlalu awal bincang agihan kerusi. UMNO pun tidak ada meminta apa-apa lagi. Belum ada permintaan khusus, kita masih di peringkat awal.

“Akan ada susulannya nanti. Apabila di peringkat Pusat ada keputusan tertentu berhubung kerjasama dua parti ini, kita akan bertemu semula,” katanya.

Sanusi yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat kepimpinan UMNO Kedah di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon, pada petang Selasa.

Pertemuan bersejarah itu diketuai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Dato’ Seri Mahdzir Khalid bersama Ketua UMNO Bahagian Alor Setar yang juga bekas Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah; Ketua UMNO Bahagian Jerlun merangkap Pengarah War Room BN Kedah, Dato’ Othman Aziz serta Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah, Dato’ Ariffin Man.

PAS Kedah pula diwakili Pesuruhjaya PAS Kedah yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahya; Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi serta Setiausaha PAS Kedah, Senator Ustaz Musoddaq Ahmad.

Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat memaklumkan, sebarang bentuk kerjasama antara PAS dan UMNO perlu diputuskan di peringkat Pusat, manakala kepimpinan negeri akan akur dengan keputusan berkenaan.

“Belum bincang kerjasama rasmi di Kedah. Semua bentuk kerjasama itu diputuskan oleh peringkat Pusat. Kita ikut apa yang Pusat putuskan. Semua setuju macam itu,” katanya.

Menurut Sanusi, pertemuan berkenaan juga tidak boleh ditafsirkan sebagai permulaan kerjasama rasmi PAS-UMNO di Kedah, sebaliknya ia merupakan proses membina persekitaran yang lebih positif antara kedua-dua parti.

“Ini bukan (kerjasama rasmi). Kita bentuk dulu ‘environment’ yang positif. Perlu ada ‘environment’ positif, baru boleh dilanjutkan dengan perbincangan.

“Ini prosesnya. Sembang santai, kunjung hormat UMNO Kedah kepada PAS Kedah dan perbualan tentang senario politik semasa,” katanya.

Sanusi turut menyifatkan pertemuan tersebut sebagai kesempatan untuk pemimpin kedua-dua parti berkongsi pengalaman berkaitan politik dan masa depan Kedah.

Secara berseloroh, beliau menyifatkan pertemuan itu sebagai pertemuan ‘orang tua-tua’, yang merujuk kepada pemimpin yang mempunyai pengalaman luas dan memahami selok-belok politik Kedah.

“Orang tua-tua ini maksudnya yang ada pengalaman, ada kefahaman yang cukup, mahir selok-belok Kedah. Jadi kita sembanglah. 

“Saya berterima kasih kepada semua otai-otai UMNO yang berkunjung ke kediaman rasmi Menteri Besar. Kami sembang, berkongsi pengalaman masa lalu dan jangkaan masa depan,” katanya.

Sementara itu, Mahdzir menyifatkan pertemuan tersebut sebagai ‘mukadimah’ untuk membuka ruang perbincangan lebih lanjut antara kedua-dua parti.

“Kita bertukar pandangan berkaitan dengan negeri, politik negeri dan bagaimana antara dua parti Melayu yang ada di Kedah ini untuk jalin kerjasama.

“Kita mahu wujudkan keadaan yang harmoni. Kita memulakan sesuatu dengan perjumpaan santai dan menyentuh berkaitan politik hari ini.

“Saya sifatkan ia pertemuan yang baik, positif dan masing-masing lontarkan pandangan masing-masing dalam suasana harmoni,” katanya.

Beliau turut mengesahkan tiada perkara khusus termasuk pembahagian kerusi dibincangkan dalam pertemuan tersebut.

“Belum sampai ke tahap itu lagi (berkaitan kerusi). Tidak bincang secara khusus tentang apa-apa, tiada isu terperinci. Semua itu peringkat seterusnya, kemudian,” katanya.

Sebelum ini, Sanusi menyarankan ruang rundingan pembahagian kerusi antara PAS dan UMNO diperluaskan dengan mengambil kira kemungkinan pertukaran kerusi antara negeri.

Sanusi berkata, rundingan lebih terbuka wajar dilakukan dan tidak hanya tertumpu kepada sesebuah negeri, termasuk kemungkinan UMNO diberikan kerusi di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis sebagai pertukaran kepada kerusi yang diberikan kepada PAS di Melaka.

Post a Comment

0 Comments