“Tuntut permohonan maaf terbuka, menarik balik komen, bayar ganti rugi”
Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Seorang pemilik akaun media sosial menerima Surat Tuntutan (Letter of Demand, LOD) daripada Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung dakwaan fitnah berkaitan aktiviti penjualan balak, yang dimuat naik di Facebook.
Surat tuntutan bertarikh 8 Jun itu dikeluarkan firma guaman Faizi & Associates terhadap seorang individu di Alor Setar susulan dua komen yang dimuat naik pada 18 Mei 2026 di ruangan komen hantaran Facebook Gang Utara Fan Club.
Menurut surat tuntutan tersebut, komen berkenaan mengaitkan Sanusi dengan kegiatan menjadi orang tengah dalam urusan penjualan balak sejak era pentadbiran bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak sehingga kini.
Surat tuntutan berkenaan menjelaskan, dakwaan itu adalah tidak benar, bersifat fitnah serta direka-reka sehingga boleh menjejaskan reputasi Sanusi sama ada dalam kapasiti peribadi mahupun sebagai pemimpin Kerajaan Negeri.
Sehubungan itu, individu terbabit dituntut supaya menarik balik komen berkenaan dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh penerimaan surat, mengemukakan permohonan maaf secara terbuka di akaun Facebook miliknya serta mencadangkan jumlah ganti rugi yang munasabah kepada Sanusi.
“Pernyataan fitnah tersebut telah memberi implikasi negatif terhadap anak guam kami kononnya terlibat dengan aktiviti penjualan balak secara haram dan menyalahi undang-undang.
“Ia adalah satu tindakan sensasi bagi menjatuhkan reputasi Sanusi di mata masyarakat demi kepentingan peribadi dan politik pihak tertentu,” katanya.
Menurut firma guaman itu, kegagalan mematuhi tuntutan tersebut boleh menyebabkan tindakan undang-undang selanjutnya dan permohonan injunksi difailkan terhadap individu terbabit tanpa sebarang notis lanjut.
Surat tuntutan tersebut menyatakan, komen berkenaan membawa maksud bahawa Sanusi pada ketika itu memegang jawatan Setiausaha Politik kepada Azizan didakwa terlibat dalam aktiviti penjualan balak secara haram, menyalahgunakan kedudukan dan mengaut keuntungan secara tidak sah daripada hasil hutan negeri.
“Antara komen bersifat fitnah itu ialah, ‘Kena tulis juga kepakaran beliau “menjadi org tengah” menjual balak semasa era Tan Sri Ustaz Azizan jadi MB. Dan tambah rancak sejak 2020 hingga sekarang’.
“Pernyataan fitnah tersebut jelas berniat jahat agar menjadi tontonan umum dan menyampaikan berita tidak benar berkaitan anak guam kami,” katanya.
Hantaran Facebook yang mengandungi komen tersebut menerima 783 reaksi, 436 komen dan 44 perkongsian, manakala halaman berkenaan mempunyai kira-kira 102,000 pengikut.
Firma guaman berkenaan menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan Sanusi tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti penjualan balak secara haram seperti didakwa.

0 Comments