Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Filem epik sejarah ‘The Keris’ diharap menjadi medium memperkenalkan seni bela diri warisan Melayu kepada generasi muda, sekali gus menyemarakkan semangat perpaduan menerusi penghayatan terhadap budaya dan tradisi setiap kaum.
Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, setiap kaum di negara ini mempunyai identiti tersendiri termasuk seni mempertahankan diri yang wajar dipelihara dan dihargai.
Menurut beliau, masyarakat Melayu mempunyai pelbagai aliran silat seperti Gayong, Cekak dan Pusaka, manakala masyarakat Cina terkenal dengan kung fu Shaolin serta masyarakat India dengan seni silambam.
"Saya harap generasi muda dapat mengenali dan mempelajari sesuatu daripada filem ini. Setiap bangsa ada seni, budaya dan adat tradisi masing-masing. Salah satu daripadanya ialah seni mempertahankan diri.
"Datanglah menonton tayangan ini untuk melihat seni bela diri dan adat tradisi yang dipersembahkan dalam bentuk filem yang mewakili warisan orang Melayu," katanya selepas menyaksikan tayangan perdana ‘The Keris’ di Aman Central, di sini.
Sanusi turut meluahkan rasa bangga apabila karya yang mengangkat persilatan Melayu itu diterbitkan oleh pasukan produksi yang majoritinya terdiri daripada masyarakat India.
"Saya bangga kerana penerbit, pengarah dan keseluruhan kru produksi adalah orang India, tetapi yang ditonjolkan ialah silat Melayu. Saya harap ini menjadi permulaan yang baik untuk kita saling mengenali, menghormati dan terus hidup aman damai dalam masyarakat berbilang kaum," katanya.
Beliau turut berharap ‘The Keris’ mendapat sambutan hangat penonton dan berpotensi diterbitkan dalam siri kedua yang mungkin mengetengahkan seni bela diri kaum lain sebagai usaha memperkenalkan kepelbagaian budaya Malaysia.
Sanusi buat pertama kalinya membuat kemunculan khas sebagai watak 'Panglima' dalam filem ‘The Keris’, yang menjayakan babak memberikan kata-kata semangat kepada pesilat yang akan bertarung dengan jaguh luar negara bagi mempertahankan maruah Melayu, iaitu keris.
Sementara itu, penerbit filem berkenaan, Dr. T. Matheyalagan berkata, ‘The Keris’ dihasilkan bagi mengangkat semula sejarah persilatan Melayu dengan sentuhan moden agar lebih dekat di hati generasi muda.
"Kita mahu bawa semula sejarah supaya ia tidak dilupakan, jangan noktahkan sejarah. Pada masa sama, kita terapkan elemen moden dalam persilatan agar sesuai dengan cita rasa penonton hari ini berbanding filem-filem terdahulu," katanya.
Beliau berharap filem itu mampu menembusi pasaran antarabangsa termasuk platform penstriman seperti Netflix sekali gus memperkenalkan keris, persilatan Melayu dan sejarahnya kepada masyarakat dunia.
“Saya harapkan filem ini tembusi pasaran luar untuk tonjolkan kebangkitan orang Melayu, kebangkitan persilatan Melayu dan keris itu sendiri, dengan itu dunia akan mengenali apa itu persilatan Melayu dan keris serta sejarahnya,” katanya.
Dalam pada itu, Matheyalagan turut memuji komitmen Sanusi ketika menjalani penggambaran watak 'Panglima' yang hanya mengambil masa kira-kira dua jam setengah untuk diselesaikan.
Katanya, Menteri Besar Kedah itu berjaya menghabiskan dialog sepanjang tiga muka surat dalam satu penggambaran tanpa memerlukan ulangan.
"Beliau hanya baca sekali, memahami dialog dan terus sampaikan dengan lancar. Beliau turut perbetulkan beberapa penggunaan bahasa pada skrip sebelum penggambaran. Keseluruhan babak disiapkan dalam satu 'take', sesuatu yang cukup mengagumkan," katanya.
Menurutnya, pemilihan Sanusi untuk watak berkenaan adalah kerana watak 'Panglima' memerlukan individu yang berkarisma, lantang serta mempunyai latar belakang persilatan.
"Kita mahu fokus kepada karya dan perpaduan masyarakat Malaysia. Dato’ Seri Sanusi sesuai kerana beliau memang dikenali sebagai pesilat dan mempunyai karakter kuat sebagai panglima," katanya.
Pada majlis sama, pihak produksi menyerahkan sumbangan RM1,000 sebagai permulaan kepada Tabung Tunku Mahmud dan memaklumkan sebahagian hasil kutipan jualan tiket filem itu turut akan disalurkan kepada tabung berkenaan.
“Selain Tabung Tunku Mahmud, kami juga berhasrat menyumbang kepada beberapa tabung kebajikan lain bagi masyarakat Melayu, Cina dan India.
“Saya harapkan kejayaan bukan sahaja kepada kami (produksi), persilatan Melayu atau kebangkitan Melayu harus dikekalkan,” katanya.
Filem ‘The Keris’ akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 2 Julai ini.
‘The Keris’ yang diterbitkan dengan kos RM1 juta menampilkan dua latar masa berbeza, iaitu era klasik zaman Hang Tuah dan zaman moden.
Filem ini dibintangi Syazlie Syazz, Firdaus Luthuffi, Zainal Isa, Julia Larica, Raja Azrey serta Datuk Jalaluddin Hassan, menampilkan Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang membuat kemunculan istimewa.
ARTIKEL BERKAITAN:
https://www.facebook.com/share/p/1EJbLNd9bU/
0 Comments