KEDAH PERSIAP ANAK MUDA SEBAGAI PEMIMPIN MASA DEPAN, JAYAKAN THE GREATER KEDAH

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah sedang mempersiapkan generasi muda untuk menerajui negeri itu pada masa hadapan menerusi pembangunan kepimpinan berteraskan kompetensi, integriti dan tanggungjawab.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, usaha itu penting bagi memastikan gagasan ‘The Greater Kedah’ dapat diteruskan sebagai amanah kepada generasi akan datang, dan bukan sekadar slogan politik.

Menurut beliau, anak muda perlu dipersiapkan dari sekarang kerana mereka bakal menerima tanggungjawab untuk membina, memperkukuh dan menjulang Kedah ke mercu kejayaan.

“Untuk menyerahkan satu amanah yang berat dengan harapan yang tinggi, kita tidak boleh semata-mata berserah kepada masa dan keadaan. Kita harus membuat persiapan sewajarnya.

“Setiap generasi yang menerima amanah perlu bersedia untuk meneruskan kelangsungan gagasan The Greater Kedah demi masa depan negeri dan rakyat seluruhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kedah Young Leadership Development Programme 2026, hari ini yang dihadiri lebih 1,000 peserta.

Sanusi berkata, program berkenaan diwujudkan bagi membangunkan barisan kepimpinan masa depan dalam kalangan anak muda Kedah selain memberi pendedahan kepada mereka mengenai pengalaman, aspirasi dan pandangan tokoh dalam pelbagai bidang.

Antara tokoh yang berkongsi pengalaman dalam program itu, Pengerusi DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir; Ketua Pegawai Eksekutif PKNK dan KTPC, Dato’ Mohd Sahil Zabidi; Pengarah Urusan Kumpulan dan Pengerusi Aurelius Healthcare, Dato’ Amir Firdaus Abdullah serta dari Public Affairs and Business Development Southeast Asia, Tesla, Ir. Ahmad Hadri Haris.

Menurut Sanusi, The Greater Kedah merupakan gagasan besar yang melangkaui generasi dan tempoh masa dengan matlamat membangkitkan semangat anak Kedah untuk mengembalikan kegemilangan negeri itu seperti yang pernah dikecapi suatu ketika dahulu.

“Dalam usaha kita membina Kedah yang lebih baik, kita perlu melahirkan generasi Qawiyul Amin, iaitu mereka yang bukan sahaja kompeten tetapi juga berintegriti untuk diwariskan perjuangan ini pada masa hadapan.

“Hanya mereka yang memiliki ciri-ciri keperibadian seperti ini layak untuk kita harapkan bagi mencapai cita-cita dan harapan gagasan The Greater Kedah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan golongan muda yang bercita-cita menjadi pemimpin supaya bersedia membuat keputusan yang mungkin tidak popular, namun penting bagi menjamin masa depan rakyat dan negeri.

Katanya, setiap pemimpin perlu bijak menganalisis situasi, cekap menyusun strategi serta memastikan setiap dasar yang dirancang meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

“Dalam memimpin, kita perlu sentiasa jujur dan bertanggungjawab. Kita mesti bersedia membuat keputusan yang mungkin tidak popular, tetapi penting untuk menyelamatkan masa hadapan.

“Pemimpin yang cekap mesti memiliki hati yang tenang untuk menilai situasi dan jiwa yang hidup untuk memahami realiti,” katanya.

Dalam pada itu, Sanusi mengingatkan anak muda supaya tidak menjadikan perbezaan pandangan politik sebagai alasan untuk bermusuhan, sebaliknya belajar untuk berbeza pendapat tanpa membenci.

“Dalam demokrasi, orang yang tidak bersetuju dengan kita bukanlah musuh. Orang yang mengkritik kita tidak semestinya membenci kita dan orang yang menyokong kita tidak semestinya menerima kita dalam setiap perkara.

“Saya mahu anda semua belajar satu kemahiran yang semakin hilang, iaitu belajar untuk tidak bersetuju tanpa membenci.

“Anda boleh berdebat tetapi jangan hilang adab. Anda boleh pertahankan prinsip tetapi jangan hilang kemanusiaan. Anda boleh menang hujah tetapi jangan sampai kalah akhlak.

“Kalau anda mampu menguasai perkara ini, saya yakin anda mampu menjadi pemimpin yang hebat,” katanya.

Post a Comment

0 Comments