Oleh: Zainal Rashid Ahmad (ZRA)
Aktivis kemanusiaan
Awal Oktober 2026 nanti - ZRA Strim akan kembali ke utara tanahair bagi membantu pesawah dalam usaha mendapatkan keadilan menjelang musim awal tuaian.
Fokus utama tinjauan kali ini - menyentuh isu proses timbangan padi di kilang-kilang yang dilesenkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Isu pemotongan timbangan padi berada dibawah bidang kuasa Seksyen Kawal Selia Padi dan Beras KPKM. Secara faktanya, pesawah memaklumkan: "Pemotongan timbangan dengan pelbagai alasan kualiti padi sudah berlarutan sejak tahun 2000. Berlaku setiap kali kerajaan menaikkan harga lantai padi."
APA IMPAK PEMOTONGAN?
Apabila timbangan padi dipotong dengan alasan kualiti - hasil timbangan akan berkurangan, sekali gus menjejaskan hasil penjualan.
Mudahnya; sekiranya 1 tan padi ditimbang dan pihak kilang menggunakan proses pemotongan kualiti mencapai 20 peratus - petani hanya menerima bayaran untuk 800 kilogram.
Nilai 200 kilogram hilang atas alasan kualiti.
Cuma anehnya: Mengapa selama 25 tahun; isu kemerosotan kualiti meningkat - setiap kali kerajaan menaikkan harga lantai?
"Sebelum tahun 2000 harga padi per tan metrik seluruh negara tidak seragam, Kelantan RM650, Selangor RM750 dan Kedah RM700. Waktu itu purata pemotongan pemutuan sekitar 15 peratus," kata pesawah yang mengadu mengenai isu ini.
Menurut pesawah, pada 2010 - kerajaan perkenalkan harga lantai seragam sebanyak RM900 di seluruh negara.
Waktu itu - bermulalah lonjakan pemotongan kualiti mencapai 18 hingga 19 peratus.
Lonjakan pemotongan berterusan pada 2021 hingga ke paras 20 hingga 25 peratus.
Sekali lagi berlaku setelah kerajaan menaikkan harga lantai per tan metrik - antara RM1300 pada 2023 dan RM1500 pada 2025.
Secara trendnya - ia bukan isu kualiti. Data kenaikan pemotongan kualiti lebih terarah pada mengurangkan kos belian kepada pengilang padi.
Kesannya ia turut mengurangkan pendapatan pesawah; walaupun kenaikan harga lantai bertujuan membantu pesawah.
Masalah ini perlukan jawapan. Pihak Seksyen Kawal Selia Padi dan Beras pasti ada jawapan yang konkrit; memandangkan ia sudah berlarutan lebih 25 tahun!
Apakah hasil kualiti padi di negara kita merosot antara antara 15 hingga 25 peratus pada tempoh 25 tahun?
Kalau merosot kualiti; apakah tiada langkah penyelesaian selama 25 tahun?
Atau, penurunan kualiti padi sengaja dibiarkan berlaku bagi mengurangkan kos pengilang apabila harga lantai dinaikkan?
Sekarang sampai masanya - isu ini ditangani bagi memastikan kita temukan jawapan yang jelas.
Pastinya, Seksyen Kawal Selia Padi dan Beras KPKM ada jawapannya.
Tiada isu siapa hero.
Permasalahan ini - berkait dengan isu penguatkuasaan dan pemantauan.
Atau, pihak Bahagian Kawalselia Padi dan Beras, serta KPKM ada jawapannya.
Pastinya - fail kajian bagi isu ini; pastinya sudah ada sejak 25 tahun lalu.

0 Comments