MANIPULASI PLATFORM KOMERSIAL AI UNTUK PENGARUH POLITIK DALAM NEGARA: SKMM JANGAN MELEPASKAN BATUK DI TANGGA

 

KENYATAAN MEDIA

DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

Oleh: Nadzir Helmi

Ketua Penerangan

Dewan Pemuda PAS Malaysia

Pemuda PAS Malaysia mengambil serius laporan daripada sebuah badan penyelidikan kecerdasan buatan (AI), Anthropic mengenai kewujudan operasi besar-besaran pengaruh AI yang didakwa menggunakan data banci dan pilihan raya termasuklah rekod pengundi dengan skala yang besar selain penciptaan ribuan akaun media sosial palsu melalui platform X bagi mempengaruhi persepsi masyarakat dalam negara ini.

Perkara yang paling membimbangkan adalah mengenai dakwaan eksploitasi teknologi AI dengan memanipulasi isu-isu sensitif termasuklah isu kaum, agama dan institusi diraja yang diklasifikasi sebagai isu 3R mengikut profil data pengundi di seluruh 222 kawasan Parlimen. Pendekatan sedemikian cenderung menimbulkan persoalan terhadap sejauhmana data-data pengundi dan pilihan raya telah terdedah ke luar bahkan mengikis kepercayaan rakyat terhadap maklumat yang diterima melalui media sosial.

Pemuda PAS Malaysia menegaskan bahawa bentuk manipulasi sedemikian boleh mewujudkan persepsi palsu seolah-olah sesuatu pandangan mahupun naratif tertentu mendapat sokongan rakyat yang luas sedangkan segalanya hanyalah sekadar "khayalan" yang dicipta melalui platform AI tersebut. Malah, memanipulasi isu sensitif 3R seperti itu tidak sepatutnya dilakukan kerana hanya boleh mencetuskan ancaman keselamatan tidak perlu jika tidak dikawal.

Tambahan lagi, lebih membimbangkan adalah kewujudan dakwaan serius mengenai kandungan yang mengandungi tuduhan terhadap individu tertentu dengan alasan yang palsu (fabricated). Penyebaran maklumat palsu melalui rangkaian akaun yang juga palsu berpotensi menjadi fitnah yang besar, menjejaskan reputasi individu serta mengelirukan orang awam.

Oleh yang demikian, Pemuda PAS Malaysia menggesa suatu siasatan dan pelaporan awam yang menyeluruh terhadap segala pendedahan yang dibuat oleh pihak Anthropic. Usah sekadar menafikan penglibatan pihak SKMM tetapi meninggalkan seribu satu persoalan kepada rakyat mengenai dakwaan-dakwaan serius yang dibangkitkan. 

Jika bukan pihak Kerajaan terlibat secara langsung dengan dakwaan yang dikemukakan, maka wajar disiasat pihak mana yang menjadi penerajunya. Hal yang demikian kerana pihak tersebut telah manipulasi bukan sahaja naratif politik, malah juga data pilihan raya dan pengundi dalam negara. Apakah begitu mudah data negara dimanipulasi melalui platform AI untuk kepentingan pihak tertentu? SKMM jangan sekadar melepaskan batuk di tangga.


Sekian.

Post a Comment

0 Comments