Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Dunia Islam perlu mengubah konsep penyatuan ummah daripada sekadar slogan kepada hubungan strategik antara negara, ulama, cendekiawan, masyarakat dan gerakan Islam.
Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, perkara itu ditegaskan oleh Menteri Luar Iran, Dr. Seyed Abbas Araghchi ketika mengadakan sesi dialog bersama ulama, tokoh politik, cendekiawan dan wakil masyarakat Islam dari 40 negara dalam Persidangan Antarabangsa Perpaduan Islam ke-40 di Tehran, baru-baru ini.
Menurut beliau, dalam pertemuan itu, Araghchi membentangkan situasi terkini perang ke atas Iran serta kesungguhan Iran mengajak seluruh dunia Islam bersatu atas nama penyatuan ummah sedunia.
“Menurut laporan dibentangkan, persidangan ini bukan sekadar pertemuan diplomatik, sebaliknya platform pertukaran pandangan antara Menteri Luar Iran dengan tokoh-tokoh dunia Islam mengenai isu geopolitik, keselamatan, hubungan antara negara Islam dan masa depan perpaduan umat,” katanya.
Ahmad Tarmizi mewakili Malaysia dalam persidangan berkenaan, yang turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga Pengerusi Muslim Ummah International Forum 2.0 (MUNIF 2.0).
Menurutnya, delegasi Malaysia berpeluang mengadakan pertemuan khusus dengan Araghchi bagi membincangkan situasi terkini konflik terhadap Iran selain mendengar pendirian Tehran mengenai usaha menyatukan dunia Islam.
“Araghchi memaklumkan, Iran melihat perpaduan umat Islam sebagai strategi, bukan sekadar slogan, berasaskan pendekatan taqrib atau usaha mendekatkan hubungan antara mazhab dan umat Islam.
“Beliau menyifatkan pendekatan itu sebagai warisan Imam Khomeini dan pemimpin syahid Iran, selain menegaskan kepentingan agenda perpaduan dunia Islam kini semakin besar.
“Iran mahu memperluaskan hubungan dengan dunia Islam berdasarkan pendekatan berorientasikan perpaduan,” katanya.
Dalam hubungan dengan dunia Islam, Araghchi mahu Iran memperkukuh hubungan dengan semua negara Islam, khususnya negara jiran, menerusi kerjasama dalam bidang kejiranan, ekonomi, sains dan teknologi serta hubungan lebih erat dengan negara-negara Asia Barat, Afrika dan dunia Islam secara keseluruhannya.
Beliau menegaskan Iran tidak mahu perbezaan antara negara Islam dimanipulasi sehingga mencetuskan konflik sesama sendiri.
Sementara itu, isu Palestin dan al-Quds turut menjadi antara perkara penting yang dikaitkan dengan agenda perpaduan Islam dalam persidangan tersebut.
“Araghchi menegaskan, Iran mahu terus membantu usaha menyatukan dunia Islam dalam menghadapi pendudukan Israel, menghentikan pembunuhan rakyat Palestin, menamatkan pendudukan Israel terhadap Lubnan serta memperjuangkan hak menentukan nasib rakyat Palestin dengan al-Quds sebagai ibu negara.
“Ia sekali gus meletakkan isu Palestin sebagai antara titik penyatuan utama umat Islam, bukannya isu sampingan dalam agenda perpaduan dunia Islam,” katanya.
Mengenai hubungan Iran-Mesir, Araghchi berkata, Tehran bersedia memulihkan hubungan baik dengan Kaherah sekiranya Mesir turut bersedia ke arah itu.
“Beliau tegaskan, pada ketika ini tidak ada sebab asas untuk kedua-dua negara terus bermusuhan,” katanya.
Menurut Ahmad Tarmizi, berkaitan konflik Iran, Araghchi turut mendakwa perang 12 hari yang berlaku sebelum ini menjadi ujian terhadap perpaduan rakyat negara itu.
“Pihak musuh pada awalnya menyangka perpaduan rakyat Iran telah melemah sebelum cuba mencetuskan perpecahan dalaman, menghantar kumpulan bersenjata dan mewujudkan ketidakstabilan.
“Bagaimanapun, usaha memecahbelahkan rakyat Iran, menjatuhkan kerajaan, memecahkan wilayah negara itu serta melumpuhkan kemampuan pertahanannya tidak berjaya.
“Malah Araghchi menegaskan pendirian Tehran, serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran adalah tidak sah, manakala tindakan balas Iran disifatkan sebagai pertahanan yang sah,” katanya.
Beliau berkata, konflik tersebut menunjukkan kehadiran pangkalan Amerika Syarikat di negara-negara rantau tidak semestinya menjamin keselamatan negara berkenaan.
Sehubungan itu, Iran menekankan kepentingan kekuatan sendiri dengan bergantung kepada Allah SWT, rakyatnya, kekuatan domestik, teknologi tempatan dan kemampuan pertahanan yang dibangunkan dalam negara.

0 Comments