KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
Oleh: Nazrul Nazir
Ketua Sektor Generasi Baharu
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Sektor Generasi Baharu Dewan Pemuda PAS Malaysia mengikuti rapat pengumuman YAB Perdana Menteri pada hari ini bahawa Kerajaan akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU). Komitmen ini mesti diterjemahkan segera melalui garis masa dan pelan perundangan yang jelas, bukan sekadar menjadi satu lagi janji reformasi yang tertangguh.
Harus difahami bahawa sebahagian besar kandungan AUKU berkaitan penubuhan, pentadbiran dan tadbir urus universiti. Hanya sebahagian kecil peruntukannya sering dipertikaikan kerana menyekat suara dan kegiatan mahasiswa, dan bahagian tersebut sendiri telah melalui sekurang-kurangnya tiga siri pindaan utama bagi meluaskan ruang kebebasan mahasiswa.
Oleh itu, pemansuhan AUKU tidak boleh dibiarkan mewujudkan kekosongan undang-undang atau sekadar berakhir dengan penjenamaan semula. Sebuah akta baharu yang moden dan menyeluruh perlu digubal bagi menggantikan AUKU melalui libat urus bermakna bersama mahasiswa, ahli akademik, kakitangan universiti dan pihak berkepentingan.
Akta baharu tersebut bukan sahaja mesti menjamin autonomi serta kebebasan bersuara mahasiswa, tetapi turut melindungi kebebasan akademik pensyarah dan autonomi warga pentadbiran universiti. Warga universiti juga perlu diberikan hak sebenar untuk memilih Naib Canselor melalui proses yang telus, bebas dan berasaskan merit, dengan kuasa pelantikan terakhir tidak lagi terletak pada Menteri seperti kerangka AUKU sekarang.
Pada masa yang sama, undang-undang lain yang bersifat in pari materia atau mempunyai kesan seumpama AUKU, termasuk Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555), Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173), Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174) serta Perlembagaan UIAM, mesti turut dipinda atau dimansuhkan mengikut kesesuaian. Semangat pemansuhan AUKU mesti dinikmati oleh seluruh warga pendidikan tinggi, bukan hanya universiti tertentu. Jangan sekadar menukar nama akta tetapi mengekalkan bentuk kawalan yang sama.
Dewan Pemuda PAS menegaskan semangat reformasi harus dimaknai dengan tindakan, bukan sekadar retorik yang diumum sebagai halwa telinga demi mendapat undi. Hasrat ini disambut sebaiknya, namun ditegaskan agar ianya harus dilaksanakan sesegera mungkin.
#TerusMemimpin #PemudaPAS

0 Comments