Oleh: Roslinda Hashim
TANJONG KARANG - Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan PKR sebagai parti yang ‘porak-peranda’ susulan perkembangan dalam kepimpinan termasuk pemilihan parti itu, sekali gus mempersoalkan kemampuan untuk terus menerajui negara.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, keadaan itu jelas apabila pemimpin yang menang dan kalah dalam pemilihan parti itu akhirnya mengambil keputusan berundur daripada jawatan masing-masing.
“Akhirnya yang kalah (pemilihan) berhenti, yang menang pun berhenti. Tinggal ‘papaku’ seorang diri. Politik apa macam ini? Tak betul politik macam ini. Jangan ikut PKR, berselerak habis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Himpunan Jentera Pilihan Raya PAS Selangor di sini, malam tadi.
Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat berkata, pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti tahun lalu, menyaksikan Datuk Seri Rafizi Ramli tewas kepada Nurul Izzah Anwar sebelum masing-masing kini mengambil langkah berundur daripada jawatan dalam parti.
“Kesian Rafizi, bertanding dalam parti riuh rendah satu negara untuk jawatan Timbalan Presiden PKR, dia kalah sebab lawan anak papaku. Dia pun berhenti jadi menteri, buat parti Bersama lambang kancil.
“Yang menang kalahkan Rafizi, (Nurul Izzah) tiba-tiba letak jawatan. Parti ini gila dah…
“Masa pemilihan, mereka buat roadshow merata. Dua-dua puak itu hentam Sanusi. Nak bertanding Timbalan Presiden PKR tapi hentam Sanusi, Nurul Izzah kata pada abang (saya), Rafizi pun kata pada abang (saya) juga,” katanya.
Nurul Izzah yang merupakan Timbalan Presiden PKR sebelum ini menyatakan hasrat berundur sebagai pemimpin nombor dua parti itu namun Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR memutuskan untuk tidak menerima peletakan jawatannya.
Keputusan itu adalah bagi membolehkan beliau meneruskan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD).
Terbaharu, Nurul Izzah berkata, beliau tidak mampu ‘memuaskan hati semua orang’ ketika mengulas keputusannya melepaskan jawatan tersebut. Katanya, ada pihak tidak berpuas hati dengan keputusannya bertanding jawatan timbalan presiden dan menewaskan Rafizi dalam pemilihan parti tahun lalu.
Dalam pada itu, Sanusi tegaskan, perkembangan dalam parti itu menunjukkan kepimpinan PKR tidak berada dalam keadaan stabil.
Beliau berkata, sekiranya sesebuah parti mahu membawa keharmonian kepada rakyat, asasnya perlu bermula dengan kestabilan dan ketelusan dalam parti serta kepimpinan.
“Kalau nak bawa sesuatu yang elok kepada orang ramai, nak bina masyarakat yang aman dan damai, parti kena aman dulu. Kepimpinan kena betul dulu.
“Mereka ini parti terbuka. Yang menang pun berhenti, yang kalah pun berhenti daripada PKR. Prestasi tak tahu ke mana, nilai tak ada apa-apa, rosak dah negara ini, tak boleh dibiarkan PH lebih lama perintah,” katanya.
Sanusi turut menyelar hasrat PKR untuk muncul sebagai parti teras Melayu seperti dinyatakan Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC).
“Anwar kata PKR nak jadi parti teras Melayu. Bagi saya, tak masuk akal. Mereka nak buat apa? Parti PKR ini sudah pening.
“Ketika beliau menyampaikan ucapan, orang komen di ruangan komen, guru, letak jawatan guru. Tak ada lagi Perdana Menteri, orang kata seperti itu. Anwar pun tahu, dia dikecam saban hari, berhentilah. Tentu orang puji dia kalau dia letak jawatan,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan hala tuju PKR yang dilihat cuba menampilkan imej baharu sedangkan parti itu masih berdepan pelbagai isu dalaman.
Sanusi turut menyentuh kedudukan PKR sebagai tonggak utama Kerajaan Negeri Selangor, bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
“Saya tengok ada orang rakam video dia ke masjid dan derma dalam tabung masjid. Benda jarang buat, orang buat video lah. Kalau hari-hari buat, tak buat video. Kalau derma, pergi masjid, sembahyang sunat, itu ibadat, tak payahlah rakam. Janganlah sampai begitu, hilang pahala kawan tu,” katanya dalam nada berseloroh.
Pada masa sama, Sanusi menegaskan PAS perlu terus mempertahankan kestabilan dan keharmonian dalam parti meskipun berdepan kecaman pihak tertentu.
“Mereka kecam kita ‘walaun’. Tak mengapa, janji parti kita aman,” katanya.

0 Comments