PAS SASAR RAMPAS SELANGOR

 

“TAWAN SELANGOR, DAPATLAH MALAYSIA. JATUH PH DI SELANGOR, JATUHLAH PH DI PERSEKUTUAN” 

Oleh: Roslinda Hashim 

TANJONG KARANG - PAS menyasarkan untuk merampas pentadbiran Selangor daripada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum (PRU16) akan datang, sekali gus menjadikan negeri itu sebagai landasan utama untuk mengubah landskap politik negara.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Selangor dipilih sebagai titik permulaan gerakan berkenaan kerana negeri itu menjadi pusat kegiatan ekonomi, kewangan dan pentadbiran negara.

“Boleh dapat (tawan) Selangor, bolehlah dapat Malaysia. Jatuh PH di Selangor, jatuhlah PH di Persekutuan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Himpunan Jentera Pilihan Raya PAS Selangor di sini, malam tadi.

Menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu, himpunan berkenaan juga bertujuan membina semangat serta membulatkan tekad seluruh jentera parti untuk bekerja bagi mencapai sasaran tersebut.

Katanya, PAS akan menyusun strategi, pendekatan dan langkah yang bersesuaian dengan Perlembagaan PAS, undang-undang negara serta amalan demokrasi bagi menumbangkan PH dalam PRU akan datang.

“Saya yakin PAS akan memimpin kebangkitan ini. PAS akan ketuai perjuangan untuk tumbangkan PH di Selangor dan seterusnya di peringkat Persekutuan.

“Berjuang sungguh-sungguh. Jangan bergaduh. Rundinglah, pakat elok-elok. Jangan utamakan kepentingan diri,” katanya.

Sanusi berkata, anggota parti perlu mengikhlaskan diri dalam perjuangan dan tidak menjadikan kepentingan jawatan serta harta benda sebagai matlamat utama.

Beliau turut menegaskan jentera PAS perlu bekerja keras serta mematuhi arahan pimpinan bagi memastikan gerakan parti mencapai matlamat ditetapkan.

“Ikhlaskan hati kita. Jernihkan sikap pendirian kita. Jangan tamak, jangan gila harta benda, jangan nak itu, nak ini. Wakafkan diri kita untuk perjuangan demi rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Sanusi berkata, kesungguhan PAS Selangor dapat dilihat menerusi penyediaan dokumen perancangan parti yang disiapkan sebelum parti itu mengambil alih kerajaan negeri.

“Selangor dah siap dokumen sebelum jadi kerajaan. Kedah buat masa jadi kerajaan, Kedah 2035 dan Kedah 2050. Alhamdulillah, Selangor siap sebelum jadi kerajaan, betapa seriusnya PAS Selangor,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh jentera PAS supaya tidak mudah berpecah serta mengutamakan semangat kerjasama dalam memastikan perjuangan parti dapat diteruskan.

“Bermula tahun 1951 sampai hari ini, kita hanya ada tin milo (untuk dana). Tak ada pemimpin kita terlibat dengan sakau. Tak ada RCI dibuat terhadap pemimpin PAS. Kita juga tak terpalit rasuah atau jenayah,” katanya.

Beliau juga menyifatkan PAS sebagai parti yang mampu menjadi harapan rakyat untuk membawa perubahan terhadap landskap politik negara yang rosak akibat pendekatan PH.

“Kitalah yang tinggal untuk negara ini. Mari kita kejar sungguh-sungguh, jelaskan kepada rakyat apa kita nak bawa kepada negara ini.

“Saya yakin dengan kebijaksanaan pemimpin yang diberi amanah untuk pikul tanggungjawab itu, kita akan memandu negara ke arah yang lebih baik,” katanya.

Post a Comment

0 Comments