RCI TABUNG HAJI DIJADIKAN ‘SENJATA’ POLITIK PH - SANUSI

 

Oleh: Roslinda Hashim 

TANJONG KARANG - Pakatan Harapan (PH) didakwa sengaja menyimpan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji selama tiga tahun sebelum mendedahkannya sebagai ugutan politik terhadap rakan dalam Kerajaan Perpaduan.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, laporan RCI berkenaan yang sudah disiapkan sejak tiga tahun lalu, hanya didedahkan ketika Barisan Nasional (BN) mula menunjukkan kecenderungan untuk kembali bekerjasama dengan PN.

“RCI ini siap tiga tahun lepas. Selama tiga tahun, RCI diperam. Bila nampak rakan-rakan BN mula sedar diri, nak patah balik kepada kita, didedahkan semua sebagai ugutan.

“Bukan nak cari kebenaran, bukan nak cari ketelusan. Apa motif tak buka awal-awal dulu? Sepatutnya benda sudah ada, hantarlah. 

“Sebabnya nak ambil kepentingan, untuk jadi kerajaan, bersenang-lenang dengan kuasa. Bila nampak orang tu nak pergi, ugut mereka, itu saja politik Pakatan Harapan ni,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Himpunan Jentera Pilihan Raya PAS Selangor di sini, malam tadi.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu berkata, tindakan mendedahkan laporan berkenaan hanya selepas tiga tahun menimbulkan persoalan mengenai motif sebenar kerajaan.

Beliau jelaskan, ‘senjata’ politik ini dikaitkan dengan situasi PH sebelum ini yang tidak mempunyai jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), menyebabkan gabungan itu memerlukan sokongan 30 Ahli Parlimen BN bagi membentuk Kerajaan Madani.

“Hang ambil orang ini semua kerana mereka ada kes, tetapi oleh kerana hang nak hisap madu daripada mereka, hang simpan (RCI).

“Dia simpan RCI kerana takut orang tahu, takut terdedah siapa yang bersalah. Dia simpan sebab dia nak guna 30 orang ini. Dia nak ambil madu dulu, nak ambil kesempatan untuk kepentingan PH,” katanya.

Beliau turut menyifatkan pendedahan RCI selepas kerajaan memperoleh sokongan politik daripada BN sebagai tindakan yang menggambarkan sikap mengambil kesempatan.

“Selepas orang pertikai, kenapa ambil masa tiga tahun untuk dedahkan? Alasan kerajaan perlu melakukan proses pembaikan terhadap Tabung Haji terlebih dahulu.

“Mereka ini afterthought saja, fikiran terkemudian. Mereka nak ambil kesempatan, tubuh kerajaan, sudah hisap madu, sepah dibuang,” katanya.

Dalam pada itu, Sanusi menegaskan PAS tidak akan melindungi mana-mana individu sekiranya didapati melakukan kesalahan, termasuk dalam isu RCI Tabung Haji.

“PAS tak lindungi siapa-siapa. Siapa yang bersalah, tanggung sendiri. Prinsip kita jelas. Siapa buat salah, tangkap, bicarakan dan hukum. Tiada siapa dilindungi oleh PAS. Itu pendirian kami,” katanya.

Pada PRU15, PH dan BN membentuk Kerajaan Negeri Selangor selepas memperoleh 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN memenangi 22 kerusi, terdiri daripada Bersatu (12) dan PAS (10).

Post a Comment

0 Comments