SANUSI CABAR PH BENTANG PRESTASI MENTERI KABINET

 

“JIKA BENAR PH BERTERASKAN POLITIK PRESTASI, BUKTIKAN”

Oleh: Roslinda Hashim 

TANJONG KARANG: Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencabar Kerajaan Perpaduan membentangkan prestasi setiap kementerian bagi membuktikan dakwaan mereka berteraskan politik prestasi.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat berkata, jika benar politik prestasi menjadi asas perjuangan Pakatan Harapan (PH), rakyat wajar diberikan peluang menilai pencapaian kerajaan sepanjang pentadbiran mereka.

“Kalau nak ajak main politik prestasi, prestasi apa yang mereka telah capai? Tunjukkan, kami nak tengok. Buktikan kalau ada.

“Esok mula kutip prestasi kamu, bandingkan dengan prestasi dahulu dan bentangkan kepada rakyat. Kami nak nilai,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Himpunan Jentera Pilihan Raya PAS Selangor, di sini malam tadi.

Sanusi turut membangkitkan prestasi beberapa kementerian antaranya Kementerian Komunikasi, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pengangkutan.

Tegas beliau, Kementerian Komunikasi sepatutnya lebih banyak menjelaskan pencapaian kerajaan Madani kepada rakyat, termasuk perkembangan liputan 5G dan dasar yang dilaksanakan kerajaan.

“Dasar apa dibuat oleh Madani, Dato’ Seri Fahmi Fadzil (menteri) tidak boleh cerita. Orang tidak tahu. Selaku Menteri Penerangan, patut beritahu orang ramai. Bukan asyik (pantau), siapa akaun media sosial kutuk, kecam kerajaan, dipadam.

“Menteri Belia dan Sukan, orang Kedah. Prestasinya? Konon menyelam, kutip sampah, akhirnya guna video orang, tak maklum, dikatakan sebagai aktiviti menteri. Memalukan. 

“Menteri Pengangkutan, Anthony Loke buat dasar yang cetuskan kemarahan pengusaha lori bila kos pengangkutan bertambah, selain syarat drebar lori diambil tindakan jika tiga kali lakukan kesilapan.

“Menteri Dalam Negeri dari mula sampai sekarang asyik nak berlawan dengan Sanusi,” katanya.

Menteri Besar Kedah itu sebaliknya mempertahankan politik berasaskan identiti yang sebelum ini dikritik PH, dengan menegaskan identiti bangsa dan agama tidak seharusnya dianggap sebagai punca perpecahan.

Katanya, pembentukan Malaysia sejak awal turut berasaskan identiti masyarakat serta penerimaan terhadap Melayu sebagai penduduk asal negara ini.

“Politik identiti, mereka kata tidak boleh pakai dan akan cetuskan perbalahan. Tetapi mula-mula kita tubuhkan negara ini, adanya nusa yang didiami semua orang di sini, asasnya adalah identiti.

“Kita orang Melayu. Semua orang boleh duduk di sini kerana kebaikan, kemurahan dan kebijaksanaan orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata, keharmonian antara kaum dapat dikekalkan apabila semua pihak menghormati kedudukan serta identiti masing-masing.

Sanusi turut menegaskan kemajuan Malaysia sebelum ini berasaskan kepada politik identiti, dengan menyatakan negara telah membangun sebelum kewujudan politik yang dibawa DAP dan PKR.

“Siapa yang majukan tanah ini? Siapa yang majukan negara? Tentulah politik identiti. Malaysia maju dengan pendekatan itu,” katanya.

Beliau turut menepis dakwaan bahawa kemenangan PN-BN di PRN Negeri Sembilan sebelum ini berpunca daripada politik identiti.

“Tuduhan kita menang PRN Negeri Sembilan, kerana politik identiti, perkauman. Tak ada siapa bercakap tentang isu perkauman di sana,” katanya. 

Sanusi berkata, adalah tidak wajar perjuangan berasaskan identiti terus dilabel sebagai isu perkauman.

Tambah beliau, pihaknya tidak pernah menyeru rakyat untuk memusuhi kaum lain, sebaliknya menekankan keharmonian dan penerimaan antara masyarakat.

“Saya dituduh cetuskan politik identiti. Mereka kata tak boleh cakap tentang bangsa, agama. Kena main politik prestasi dan politik nilai. 

“Kalau kita tanya PH, prestasi mereka bagus kah? Mari kita selak satu-persatu kementerian. Apa politik nilai yang dipakai?” soalnya.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, politik berasaskan identiti tidak akan memenangkan mana-mana pihak dan menasihati rakyat supaya beralih kepada politik prestasi.

Beliau menyarankan rakyat menilai kerajaan berdasarkan politik prestasi dengan melihat kembali usaha dan rekod sepanjang pentadbiran.



Post a Comment

0 Comments