PERPADUAN UMMAH PERLU BERTERASKAN ISLAM, KUKUHKAN KUASA POLITIK MELAYU

 

Oleh: Roslinda Hashim 

TANJONG KARANG - Perpaduan ummah dan usaha mengukuhkan kuasa politik orang Melayu perlu berteraskan Islam, bukannya bangsa atau keturunan.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Islam menjadi asas yang memuliakan bangsa Melayu dan perlu dijadikan acuan dalam menyelesaikan pelbagai masalah negara, termasuk soal kepimpinan dan pentadbiran.

“Kita ajak untuk perpaduan ummah, mengukuhkan kuasa politik orang Melayu, asasnya mesti Islam, bukan bangsa. Terasnya mesti Islam, bukan keturunan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Himpunan Jentera Pilihan Raya PAS Selangor, di sini malam tadi.

Menurut beliau, apabila Islam diketepikan, terdapat pemimpin Melayu yang terjebak dengan amalan rasuah kerana semakin jauh daripada ajaran agama.

Katanya, perbuatan sedemikian tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang normal kerana Islam jelas melarang rasuah dan sebarang bentuk kemungkaran.

“Sejarah membuktikan, selepas datangnya Islam, barulah Melayu bangkit menjadi sebuah bangsa yang mulia dengan mengamalkan sepenuhnya ajaran Islam. Tertubuhlah kerajaan-kerajaan besar di Tanah Melayu apabila orang Melayu menerima Islam,” katanya.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu berkata, sejak penubuhan PAS, parti itu membawa seruan supaya masyarakat di Tanah Melayu menyelesaikan permasalahan berdasarkan acuan Islam.

“Terdapat pemimpin Melayu yang mengetepikan Islam dan tidak berani bercakap secara terbuka mengenai agama sehingga akhirnya menerima kehinaan pada penghujung usia.

“Melayu mulia kerana Islam, bukan kerana Melayu. Melayu itu bangsa, tetapi kalau Melayu jauh daripada Islam, dia akan menjadi bangsa yang hina.

“Jadi rakyat Malaysia yang sayangkan tanah air, sayangkan bangsa ini dan negara, biarpun rakyatnya berbilang kaum, terimalah kaedah penyelesaian menerusi Islam,” katanya.

Sanusi ibaratkan perkara sama berlaku kepada PKR yang disifatkannya sebagai parti Melayu tetapi semakin mengetepikan Islam dalam perjuangan politiknya.

Tambah beliau lagi, DAP pula sebaliknya sering memainkan sentimen perkauman kalangan bukan Melayu, selain turut mempertikai perjuangan parti itu berhubung kesamarataan hak.

“Kita hidup aman damai sehinggalah tahun 90-an hingga 2000, parti-parti politik mula berani tiup semangat perkauman kalangan bukan Melayu demi capai kuasa. Konon kalau tak sokong DAP, nasib orang Cina terjejas. Hinggakan DAP perjuangkan hak sama rata semua rakyat. Ini tak boleh, sudah dipersetujui.

“DAP lebih tebal sifat perkauman, rasisme, tetapi dia kata kita yang perkauman,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat menolak DAP dan Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan keharmonian serta keamanan negara terus dipelihara.

“Selama DAP ada dalam PH, kewajipan rakyat Malaysia ialah menolak DAP dan Pakatan Harapan.

“Nak hidup aman, harmoni dan saling hormat-menghormati, jangan ada DAP di negara ini, termasuk mereka yang bergayut dengan DAP, dapat kuasa kerana DAP,” katanya.

Pada masa sama, Sanusi tegaskan orang Melayu Islam perlu kekal menjadi teras politik negara, dengan sokongan orang Melayu menjadi penentu utama pembentukan kerajaan.

“Ingatlah teras politik negara adalah orang Melayu. Sama seperti teras politik Tanah Melayu adalah orang Melayu. 

“Siapa yang dapat sokongan orang Melayu, dia akan jadi kerajaan. Siapa yang tak dapat sokongan orang Melayu, dia tak akan jadi kerajaan kecuali dia putar belit,” katanya.

Post a Comment

0 Comments