"SALUR HASIL LELONGAN UNTUK DANA PRN MELAKA"
Oleh: Roslinda Hashim
AYER KEROH - Tongkat kayu kemuning milik Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berjaya dilelong pada harga RM16,500 bagi membantu mengisi dana jentera parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Tongkat berkenaan dibida oleh bekas pendaki Gunung Everest negara yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Lembah Pantai, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, pada Majlis Makan Malam Amal PAS Melaka di sini, malam tadi.
Lelongan tongkat yang tertera parap ‘TGHH’ yang bermaksud ‘Tuan Guru Haji Hadi’ itu bermula pada harga RM2,500 sebelum Muhamad Muqharabbin berjaya memenanginya dengan bidaan RM16,500.
Tongkat tersebut kemudiannya diserahkan sendiri oleh Abdul Hadi kepada Muhamad Muqharabbin selepas lelongan berkenaan, yang diadakan dengan persetujuan Presiden PAS itu.
Lelongan tersebut merupakan antara usaha mengumpul sumbangan bagi membantu mengukuhkan tabung parti, khususnya bagi menghadapi PRN Melaka yang bakal berlangsung.
Muhamad Muqharabbin yang menyertai PAS pada Jun lalu sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Lembah Pantai dan Exco Pemuda UMNO.
Beliau kemudiannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum meletakkan jawatan sebagai Ketua Bersatu Lembah Pantai dan seterusnya menyertai PAS.
Muhamad Muqharabbin berkata, peristiwa itu antara momen terindah buat dirinya kerana berada dekat dengan seorang murabbi, serta dapat menyumbang kepada perjuangan PAS.
"Bukan kerana nilai sebuah tongkat, bukan kerana taksub kepada manusia.
"Tetapi kerana ia akan menjadi kenangan dan peringatan sepanjang hidup saya.
"Paling penting, tongkat ini menjadi peringatan kepada diri saya sendiri, hari ini kita masih kuat, masih mampu berjalan, mendaki puncak tertinggi, keliling dunia, bekerja dan berjuang.
"Tetapi kekuatan itu tidak akan kekal selamanya. Jika Allah panjangkan usia, suatu hari nanti saya juga akan tua dan mungkin akan bertongkat," katanya di Facebook miliknya, hari ini.
Tambah beliau, selagi diberikan usia dan kudrat, marilah kita bersama berjuang dan jangan menunggu sehingga sudah tidak mampu.
"Tiada perasaan taksub kepada makhluk Allah. Penghormatan tertinggi kita kepada manusia hanyalah kepada junjungan besar Rasulullah SAW," katanya.
Beliau turut berkongsi pengertian di sebalik angka RM16,500, yang membawa maksud tersendiri buatnya, iaitu 1 (Ihsan), 6 (Iman), 5 (Islam) dan 00 menggambarkan dunia yang ditinggalkan tanpa membawa apa-apa.
"Ini sekadar simbol untuk mengingatkan diri agar menjaga Islam, Iman dan Ihsan hingga akhir hayat.
"Sebuah tongkat, sebuah kenangan, tetapi membawa peringatan untuk sepanjang kehidupan," katanya.

0 Comments