30 MERIAM BERKAITAN KEDAH DITEMUI DI TRANG, THAILAND

 

PENEMUAN SEJARAH INI AKAN DIDOKUMENTASIKAN

Oleh: Roslinda Hashim 

KUALA KEDAH - Sebanyak 30 buah meriam yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sejarah Kedah berjaya dijejaki dan dikenal pasti di wilayah Trang, selatan Thailand, sekali gus membuka ruang baharu untuk mengungkap kembali tinggalan sejarah negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, penemuan berkenaan bukan sekadar melibatkan artifak persenjataan, sebaliknya menyimpan kisah mengenai hubungan sejarah Kedah dengan wilayah di utara Semenanjung, pergolakan serta perjuangan generasi terdahulu mempertahankan tanah air dan kedaulatan negeri.

“Pasukan penyelidikan kita telah berjaya mengenal pasti 30 buah meriam yang mempunyai kaitan dengan Kedah.

“Insya-Allah, usaha ini tidak akan berhenti setakat penemuan sahaja. Kajian lanjutan akan dilaksanakan dengan lebih terperinci bagi meneliti asal-usul, usia, ciri pembuatan, inskripsi serta konteks sejarah setiap meriam berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Himpunan GEMA 1838: Gelombang Memartabatkan Warisan Kedah di Muzium Kota Kuala Kedah, di sini, hari ini.

Menurut Sanusi, penemuan 30 meriam itu perlu disusuli penyelidikan menyeluruh supaya nilai sejarah setiap artifak dapat dikenal pasti berdasarkan bukti, bukan sekadar catatan atau cerita yang diwarisi.

“Kita mahu sejarah ini didokumentasikan dengan bukti dan penyelidikan yang kukuh supaya suatu hari nanti generasi anak cucu kita dapat melihat, membaca dan memahami sendiri tinggalan perjuangan nenek moyang mereka.

“Warisan yang hilang kita jejaki. Sejarah yang terlindung kita gali. Bukti yang masih ada kita dokumentasikan.

“Kita tidak mahu generasi akan datang hanya mendengar bahawa nenek moyang mereka pernah berjuang. Kita mahu mereka melihat buktinya, mengenali sejarahnya dan memahami betapa mahalnya harga yang pernah dibayar untuk mempertahankan bumi Kedah ini,” katanya.

Sanusi berkata, Kerajaan Negeri turut mengalu-alukan penglibatan masyarakat, pertubuhan dan penyelidik dalam usaha menggali serta memperkenalkan sejarah Kedah berdasarkan sumber dan penyelidikan yang bertanggungjawab.

Katanya, lebih banyak dokumen berkaitan Kedah yang masih tersimpan di dalam dan luar negara perlu dijejaki, selain menggalakkan penyelidikan baharu serta penerbitan karya berkaitan sejarah negeri.

“Paling penting, hasil penyelidikan itu perlu dikembalikan kepada masyarakat kerana akhirnya sejarah ini bukan milik seorang pengkaji, sebaliknya milik seluruh rakyat Kedah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, usaha memartabatkan sejarah tidak seharusnya terhad dalam lingkungan akademik, sebaliknya perlu didekatkan kepada masyarakat terutama generasi muda.

Katanya, penganjuran GEMA 1838 merupakan antara usaha baik untuk membawa sejarah keluar daripada perpustakaan dan arkib melalui program, pameran, penerbitan, dokumentari, seni, pendidikan, penyelidikan serta teknologi digital.

“Kita mahu sejarah boleh dibicarakan oleh pengkaji, difahami oleh masyarakat dan diminati oleh generasi muda.

“Kalau sejarah hanya berada di dalam perpustakaan dan arkib, akhirnya hanya segelintir manusia yang mengetahuinya. Tetapi apabila sejarah dibawa kepada masyarakat, warisan kita akan terus hidup,” katanya.

Beliau turut melihat usaha mengangkat sejarah mempunyai nilai besar kepada pembangunan negeri, khususnya dalam sektor pendidikan, penyelidikan dan pelancongan warisan.

Menurutnya, tapak bersejarah seperti Kota Kuala Kedah berpotensi dibangunkan bukan sekadar sebagai lokasi peninggalan sejarah, malah pusat pendidikan, penyelidikan dan pelancongan.

“Orang yang datang ke Kedah seharusnya bukan sahaja mengenali sawah padi dan keindahan alam negeri ini, tetapi juga mengenali cerita Kedah.

“Cerita tentang pelabuhan, perdagangan, kerajaan dan masyarakat kita, peperangan dan perjuangan rakyat, selain hubungan Kedah dengan dunia Melayu serta dunia antarabangsa sejak ratusan tahun dahulu,” katanya.

Beliau berkata, semua khazanah berkenaan mempunyai nilai besar sekiranya berjaya diurus, dikaji dan dipersembahkan kepada masyarakat dengan baik.

Post a Comment

0 Comments