Oleh: Roslinda Hashim
KUALA KEDAH - Orang Melayu masih mengulangi kesilapan sejarah dengan memburukkan bangsa sendiri demi mendapatkan sokongan pihak lain untuk kepentingan politik mahupun mengekalkan kuasa.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, ia diibaratkan mengulangi sejarah ‘Perang Musuh Bisik’ yang berlaku di Kota Kuala Kedah apabila wujud pihak yang berusaha melemahkan bangsa sendiri demi kepentingan tertentu.
“Sekarang pun, musuh masih berbisik-bisik sesama mereka. Itulah yang sedang terjadi pada masa ini. Musuh terus berbisik. Orang Melayu terus memburukkan bangsa sendiri.
“Kita saja alpa, kita saja bodoh. Tanpa segan silu, tanpa rasa malu, membongkar segala keburukan dan kebobrokan bangsa sendiri untuk tontonan orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Himpunan GEMA 1838: Gelombang Memartabatkan Warisan Kedah di Muzium Kota Kuala Kedah, di sini, hari ini.
Menurut Sanusi, sejarah bukan sekadar untuk dikenang, sebaliknya perlu dijadikan pengajaran supaya generasi hari ini menyedari bahawa bentuk ‘perang’ terhadap bangsa sendiri boleh berulang dalam keadaan berbeza.
Katanya, ‘Perang Musuh Bisik’ merupakan satu peristiwa besar yang wajar dikaji kerana pengajarannya masih relevan dengan keadaan semasa.
“Perang Musuh Bisik adalah peristiwa besar yang patut dikenang, malah untuk disedari bahawa perang ini tidak pernah berhenti. Musuh hanya berbisik-bisik. Tetapi sekarang pun ada dibuat lagi. Ia berulang balik,” katanya.
Sanusi turut mengecam tindakan pihak tertentu yang gemar mendedahkan keburukan bangsa sendiri, khususnya ketika musim pemilihan jawatan, semata-mata untuk meraih sokongan politik.
“Inilah bangsa kami yang hodoh, comot. Semua pendedahan keburukan bangsa kita kepada orang lain, hanya atas kepentingan supaya pilihlah dia untuk jadi pemimpin.
“Yang lain semua buruk, yang elok dia seorang, maka pilihlah dia. Itulah tujuan pendedahan,” katanya.
Beliau berkata, tindakan sedemikian tidak membawa sebarang manfaat kepada bangsa, malah menyebabkan masyarakat Melayu semakin dipandang hina.
“Apakah yang telah dicapai oleh bangsa kita selepas tahun demi tahun mendedahkan kejahatan, kebobrokan, kebusukan bangsa kita kepada orang lain?
“Apakah kelebihan yang kita dapat? Apakah tamadun yang telah kita bina daripada pendedahan-pendedahan itu semua? Tak ada satu pun, melainkan bangsa kita semakin hari semakin dipandang hina,” katanya.
Sanusi turut membidas segelintir Melayu yang mencari sokongan pihak luar dengan memburukkan bangsa sendiri bagi membolehkan seseorang itu mendapat kedudukan sebagai pemimpin.
Katanya, tindakan berkenaan akhirnya boleh membawa kepada pengkhianatan terhadap bangsa sendiri demi mempertahankan kuasa, kemewahan dan kedudukan sebagai golongan elit.
“Dia perlu sokongan bangsa lain untuk dia jadi ketua. Untuk dia memimpin, menjarah dan menikmati semua keistimewaan sebagai ketua. Maka dia burukkan bangsa dia untuk dapat sokongan bangsa lain. Semua keburukan didedah. Tujuannya supaya mereka pilih dia,” katanya.
Sanusi berkata, masyarakat perlu mengambil iktibar daripada sejarah Kota Kuala Kedah agar perpecahan dalaman tidak terus dimanipulasi pihak berkepentingan.
Beliau pada masa sama menegaskan bahawa teguran terhadap perkara berkenaan tidak seharusnya dilabel sebagai sentimen perkauman.
“Bila kita bercakap, mereka kata sentimen perkauman,” katanya.

0 Comments