Oleh: Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar
Naib Presiden PAS
1. Cari pengalaman, jangan tunggu pengalaman datang kepada kita.
Anak muda perlu diberi dan mencari sebanyak mungkin ruang untuk belajar, mencuba dan memikul tanggungjawab.
Bukan sekadar belajar dalam bilik kuliah, tetapi belajar daripada pengalaman sebenar dan daripada mereka yang telah melalui perjalanan lebih jauh.
1. Percepatkan proses menimba ilmu dan kemahiran
Jangan tunggu sampai usia meningkat baru hendak belajar.
Belajarlah daripada orang lain. Dekati mereka yang mempunyai pengalaman dan kepakaran. Banyak perkara yang boleh dipelajari dengan lebih cepat apabila kita sedia mendengar, memerhati dan bertanya.
1. Jangan hanya berada dalam 'circle' kita sendiri
Kita perlu berani keluar daripada kelompok yang biasa.
Berbual dan bertukar pandangan dengan ahli akademik, usahawan, profesional, tokoh masyarakat dan anak muda daripada pelbagai latar belakang.
Kita tidak semestinya perlu bersetuju dengan semua orang.
Tetapi kita perlu belajar memahami dunia daripada pelbagai sudut pandang.
1. Kuasai lebih daripada satu bahasa
Bahasa membuka pintu kepada ilmu, masyarakat dan dunia.
Selain Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, kita perlu melahirkan lebih ramai anak muda yang mampu menguasai bahasa Mandarin, Tamil, Arab, Jepun, Korea dan bahasa-bahasa lain.
Bayangkan 10 tahun akan datang, kita mempunyai generasi anak muda yang mampu berkomunikasi dengan masyarakat dan dunia tanpa batas bahasa.
Itu satu kelebihan yang luar biasa.
1. Beranilah keluar daripada lingkungan yang selesa
Bina jaringan. Hadiri forum. Sertai persidangan. Dekati masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
Kerana pemimpin masa hadapan tidak boleh hanya memahami kelompoknya sendiri.
Dia mesti memahami masyarakat.
Dia mesti memahami perubahan.
Dan dia mesti memahami dunia.
Pesanan saya kepada para pemuda, gunakan usia muda ini untuk mengumpul bekalan.
Kumpul ilmu.
Kumpul pengalaman.
Bina kemahiran.
Luaskan jaringan.
Kerana apabila sampai waktunya untuk memikul amanah yang lebih besar, kita tidak mahu sekadar mempunyai semangat.
Kita mahu melahirkan generasi yang berilmu, berkemahiran, matang dan bersedia untuk menyumbang kepada agama, masyarakat dan negara.

0 Comments