RM9.65 JUTA MANFAATKAN LEBIH 32,000 PENERIMA BSPT

 

KEDAH SALUR RM27 JUTA SETAHUN UNTUK BANTUAN KEBAJIKAN

Oleh: Roslinda Hashim 

SIK - Kerajaan Negeri Kedah menyalurkan peruntukan sebanyak RM27 juta setiap tahun bagi membantu penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang layak melalui pelbagai skim bantuan, termasuk Bantuan Sejahtera Pesakit Terlantar (BSPT).

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, sejak BSPT diperkenalkan sekitar 2021, Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM9.65 juta bagi membantu pesakit terlantar di seluruh Kedah.

Menurut beliau, bantuan berkenaan telah memberi manfaat kepada lebih 32,000 penerima, dengan setiap penerima menerima bantuan RM500 secara sekali gus.

“Bantuan ini melibatkan pesakit kronik, penjaga kepada pesakit kronik, pesakit kronik terlantar serta pesakit kronik Orang Kurang Upaya (OKU) terlantar.

“Inisiatif penyaluran BSPT bertujuan meringankan beban keluarga dan penjaga, serta menggalakkan mereka terus menjaga ahli keluarga yang sakit atau OKU terlantar selain membantu memelihara dan memperkukuhkan institusi keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kembara Kasih Kebajikan 2026 ‘Jejak Prihatin, Aspirasi Sejahtera’ di Dewan Bandar Baru Beris Jaya, hari ini.

Menurut Sanusi, pembangunan sesebuah negeri tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan pembangunan fizikal, peningkatan ekonomi dan pembinaan infrastruktur.

Sebaliknya, kejayaan negeri turut bergantung kepada sejauh mana kerajaan mampu memastikan rakyat yang memerlukan tidak dibiarkan bersendirian ketika berdepan cabaran kehidupan.

“Inilah nilai yang ingin kita bawa melalui Program Kembara Kasih Kebajikan. Kembara ini bukan sekadar program untuk menyampaikan bantuan, sebaliknya satu pendekatan mendekati rakyat.

“Kita turun ke lapangan untuk melihat sendiri keadaan mereka, mendengar permasalahan dan memahami keperluan mereka,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan perkhidmatan kebajikan tidak hanya menunggu rakyat hadir ke pejabat, sebaliknya kerajaan turut turun menemui golongan memerlukan.

Katanya, antara golongan yang memerlukan perhatian berterusan ialah warga emas, OKU, kanak-kanak, pesakit terlantar, keluarga yang berdepan kesukaran ekonomi, ibu tunggal dan golongan rentan.

“Kerajaan Negeri mahu memastikan golongan ini terus diberikan perhatian. Kita tidak mahu ada rakyat Kedah merasakan mereka terpinggir atau dilupakan,” katanya.

Tambah beliau, agenda kebajikan bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata kerana jabatan dan agensi kerajaan, pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor swasta serta rakan strategik mempunyai peranan masing-masing.

Menurutnya, kerjasama semua pihak mampu mewujudkan sebuah negeri bukan sahaja maju dari segi fizikal dan ekonomi, malah penyayang, prihatin serta menjunjung tinggi nilai kemanusiaan.

“Kerajaan menyediakan dasar, peruntukan dan perkhidmatan, manakala jabatan serta agensi melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Ukuran sebenar sebuah negeri yang sejahtera bukan hanya pada bangunan yang kita bina atau pembangunan yang kita capai, tetapi sejauh mana kita mampu memastikan tiada seorang pun rakyat Kedah yang kita biarkan berjalan sendirian ketika mereka memerlukan bantuan dan perhatian,” katanya.

Sanusi berharap Program Kembara Kasih Kebajikan 2026 terus menjadi platform memperkukuh hubungan kerajaan dengan rakyat serta memperkasakan jaringan kebajikan di seluruh negeri.

Beliau juga mahu program berkenaan tidak terhenti sebagai program tahunan, sebaliknya menjadi budaya dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Kita perlu terus turun ke lapangan. Kita perlu terus mendengar suara rakyat. Saya juga menyeru seluruh masyarakat Kedah agar bersama-sama membina budaya kasih sayang, keprihatinan dan kesukarelawanan,” katanya.

Post a Comment

0 Comments