Oleh: Roslinda Hashim
KUALA KEDAH - Sejarah yang dipelajari generasi hari ini perlu dinilai dan dikaji semula berdasarkan fakta sahih bagi membetulkan naratif yang telah dipesongkan serta terlalu mengagungkan penjajah.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, usaha menghidupkan kembali fakta sejarah yang benar penting sebagai pedoman kepada generasi kini dan akan datang, khususnya dalam memahami ketamadunan bangsa Melayu serta peranan Islam dalam membentuk masyarakat.
“Kita nak bangkitkan sejarah yang benar, yang tidak ditokok tambah dan tidak dipesongkan. Semua penjulingan sejarah harus diperbetulkan untuk kita melihat dengan neraca yang tepat dan adil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Himpunan GEMA 1838: Gelombang Memartabatkan Warisan Kedah di Muzium Kota Kuala Kedah, di sini, hari ini.
Menurut beliau, sejarah yang diajar di sekolah sebelum ini banyak dipengaruhi naratif penjajah sehingga memberi gambaran seolah-olah bangsa Melayu tidak berkeupayaan dan memerlukan pimpinan kuasa Eropah.
“Ramai pengkaji sejarah sedang bercerita semula sejarah yang benar. Para pengkaji pada zaman ini kena gali semula sejarah yang benar.
“Gali, kaji, baca, cari dan hidupkan semula fakta serta perkara yang sahih dalam sejarah untuk renungan dan pedoman generasi kini dan akan datang.
“Bangsa Melayu mempunyai sejarah panjang sebagai bangsa yang hebat, termasuk keberanian mempertahankan tanah air serta pengorbanan pejuang yang sanggup syahid di medan perang,” katanya.
Sanusi berkata, usaha memartabatkan sejarah dan identiti bangsa tidak seharusnya dilihat sebagai usaha mencari permusuhan dengan mana-mana pihak.
“Kita tidak berniat untuk mencari gaduh dengan sesiapa. Orang lain pun tidak patut ada hasrat itu dengan kita. Kita hidup di sini bersama-sama. Marilah hidup dengan aman dan harmoni.
“Berpakat-pakat atas benda yang boleh disepakati. Atas benda yang kita berbeza, raikanlah perbezaan itu dengan hati terbuka,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa bangsa Melayu tidak seharusnya dianggap ketinggalan atau kolot hanya kerana memperjuangkan agama dan identiti bangsa.
Tambahnya, Islam merupakan asas yang memuliakan bangsa Melayu dan perkembangan Islam dalam sejarah turut memainkan peranan besar dalam membentuk akidah, siasah serta ketamadunan masyarakat.
“Islamlah yang memuliakan kita. Mari kita pakat sungguh-sungguh angkat Islam. Pegang perjuangan ini dengan kukuh. Walaupun kita hadapi waktu sukar, jangan tinggal sedikit pun. Jangan luntur dan jangan malu,” katanya.
Menurutnya lagi, sejarah juga tidak boleh dipisahkan daripada politik kerana pihak yang berkuasa lazimnya mempunyai pengaruh dalam menentukan naratif sejarah.
“Jangan ada benci dengan politik, jangan kata politik mengarut atau kotor. Semua sejarah dicipta oleh politik.
Siapa yang berkuasa menulis sejarah. Jadikan ia pengajaran sebab kita tewas kerana ada pengkhianatan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru generasi hari ini supaya meneruskan perjuangan nenek moyang dengan keyakinan dan tidak berasa rendah diri dalam mempertahankan perkara yang diyakini benar.
“Teruskan perjuangan nenek moyang kita dalam generasi kini tanpa rasa gentar atau kerdil kerana tidak ada salahnya dalam perjuangan kita melainkan pada mata orang yang memesongkan tamadun ini untuk kepentingan mereka,” katanya.
Beliau turut menyeru umat Islam supaya tidak malu menyatakan pendirian berkaitan agama dan terus mempertahankan Islam sebagai asas kehidupan serta identiti bangsa.
“Melayu ini mulia, hebat, bertamadun kerana datangnya Islam. Maka jangan diperlekehkan orang yang berjuang dalam Islam,” katanya.

0 Comments