USAHA BERTERUSAN KEMBALIKAN STATUS PENUH BEBAS CUKAI LANGKAWI

 USAHA BERTERUSAN KEMBALIKAN STATUS PENUH BEBAS CUKAI LANGKAWI

“SANUSI DEDAH KEMUNGKINAN KERETA MEWAH BEBAS CUKAI DIPINDAH KE SELATAN”

Oleh: Roslinda Hashim 

SUNGAI PETANI - Kerajaan Negeri Kedah akan meneruskan usaha mendesak Kerajaan Persekutuan mengembalikan status penuh Pulau Langkawi sebagai pulau bebas cukai bagi menghidupkan semula sektor pelancongan serta merancakkan ekonomi pulau peranginan itu.

Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perjuangan tersebut menjadi agenda Kerajaan Negeri selepas beberapa keistimewaan bebas cukai di Langkawi ditarik balik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Kita dah cakap sipi-sipi, tak diambil tindakan. Selepas ini kena ‘perang’ balik dengan Persekutuan untuk mengembalikan status penuh bebas cukai Langkawi," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Dana PRU16 PAS Kawasan Sungai Petani di sini.

Beliau berkata, usaha mempertahankan kedudukan Langkawi turut mendapat perhatian Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang sebelum ini beberapa kali menzahirkan kebimbangan terhadap pengurangan keistimewaan pulau berkenaan.

Sempena Hari Keputeraan baginda semalam, Sultan Sallehuddin sekali lagi menegaskan Langkawi perlu dibangunkan berasaskan identiti dan keunikan tersendiri tanpa meniru destinasi pelancongan lain seperti Phuket dan Bali.

Sanusi berkata, perbandingan antara Langkawi dengan Phuket atau Bali adalah tidak tepat kerana kedua-dua destinasi itu mempunyai konsep pelancongan berbeza.

"Phuket terkenal dengan sektor hiburan, perjudian dan aktiviti lain yang tidak sesuai dengan identiti Langkawi. Langkawi tak boleh buat seperti itu, rosak habis lah. 

”Ada orang yang akal tak berapa cukup, dia bandingkan Langkawi dengan Phuket. Langkawi ada identiti sendiri dan tidak boleh dibandingkan dengan Phuket atau Bali,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pemimpin Kerajaan Persekutuan membuat kenyataan mengkritik sektor pelancongan Langkawi, termasuk dakwaan kemerosotan ketara jumlah pelancong serta perbandingan pulau peranginan itu dengan Phuket dan Bali.

Dakwaan itu dilihat sebagai cubaan memburukkan imej pulau lagenda bawah kepimpinan Sanusi.

Dalam pada itu, Sanusi melahirkan kebimbangan berhubung dakwaan kemungkinan sebuah kawasan baharu di selatan tanah air bakal dijadikan pusat bebas cukai bagi membawa masuk kenderaan mewah, sekali gus dikhuatiri menjejaskan keistimewaan yang sebelum ini dimiliki Langkawi.

“Saya difahamkan, satu pusat baru akan dijadikan kawasan bebas cukai untuk bawa masuk kereta 
mewah di selatan tanah air. Ditarik keistimewaan dari Langkawi, bawa ke selatan.

“Ada orang tamak. Dia sembang lain, cakap lain, buat lain. Dia nak ’please’ orang itu, tarik dari sini, 
pergi sana. Orang akan kata dia hebat. Itu mainan hari ni. Usaha itu sedang berjalan.

"Saya harap ia tidak berlaku, apa yang menjadi keistimewaan di Langkawi akan hilang jika dipindahkan ke tempat lain termasuk limpahan ekonomi,” katanya.

Sanusi memaklumkan, antara keputusan yang memberi kesan besar kepada ekonomi Langkawi ialah penarikan pengecualian cukai bagi kenderaan mewah.

Menurut beliau, alasan kononnya pemilik membawa keluar kenderaan dari Langkawi tidak munasabah kerana proses tersebut tertakluk kepada syarat ketat termasuk pengisian dokumen serta pembayaran wang jaminan kepada kastam.

“Pengerusi Ferrari Malaysia maklumkan, keputusan itu menyebabkan jualan kereta mewah beralih ke negara lain, Malaysia dianggarkan kehilangan sekurang-kurangnya RM400 juta akibat daripada keputusan kerajaan tarik balik pengecualian cukai kereta mewah di Langkawi. 

“Syarikat yang jual kereta mewah tak datang lagi ke Langkawi. Termasuk orang kaya yang datang beli kereta mewah di sini. Mereka berbelanja besar, menginap di hotel lima bintang, makan di restoran mewah, membeli-belah, secara tidak langsung merancakkan ekonomi. Bila tarikan itu tiada, golongan ini tidak datang lagi," katanya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri mahu menarik lebih ramai pelancong berpendapatan tinggi kerana kumpulan itu mampu memberikan limpahan ekonomi besar kepada penduduk dan industri pelancongan Langkawi.

Namun katanya, pengurangan pelbagai keistimewaan bebas cukai menyebabkan daya tarikan Langkawi semakin merosot apabila semakin banyak barangan yang sebelum ini bebas cukai kini dikenakan cukai semula.

Pada 13 April lalu, Sultan Sallehuddin bertitah supaya Kerajaan Persekutuan mengembalikan status Pulau Langkawi sebagai pulau bebas cukai sepenuhnya bagi merangsang semula sektor pelancongan dan ekonomi negeri.

Baginda bertitah, walaupun status bebas cukai masih dikekalkan, beberapa keistimewaan telah dikurangkan termasuk pelaksanaan cukai terhadap kenderaan, produk berasaskan tembakau dan beberapa barangan lain.

Langkawi diisytiharkan sebagai pulau bebas cukai pada 1 Januari 1987 bagi merangsang pembangunan ekonomi dan pelancongan. Namun, sejak 2016, beberapa keistimewaan bebas cukai dikurangkan.

Bermula 2026, pelaksanaan cukai dikenakan terhadap kenderaan mewah bernilai melebihi RM300,000 selepas keistimewaan itu ditarik balik.

Post a Comment

0 Comments