“SPEAKER DUN KEDAH, EXCO PERUMAHAN, AHLI PARLIMEN ALOR SETAR ANTARA PENERIMA”
Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail mendahului senarai penerima anugerah darjah, bintang dan pingat kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-84, Sultan Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, hari ini.
Mereka dianugerahkan Darjah Dato' Seri Setia Pahlawan Yang Amat Dihormati (SSPK) yang membawa gelaran Datuk Seri Pahlawan.
Kurniaan Orang Besar Enam Belas dianugerahkan kepada bekas Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin yang membawa gelaran Dato’ Jaya Perkasa.
Sementara Timbalan Presiden Majlis Jaksa Pendamai Negeri Kedah, Dato’ Wira Tan Hong Eng membawa gelaran Dato’ Jaya Dermawan.
Kurniaan Orang Besar Tiga Puluh Dua pula dianugerahkan kepada bekas Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Kedah, Dato’ Mohamad Che Nai yang membawa gelaran Dato’ Johan Bakti dan bekas Senator, Datuk Seri Boon Som Inong yang membawa gelaran Dato’ Biram Jaya.
Darjah Dato' Setia Sultan Sallehuddin Kedah (DSSS) yang membawa gelaran Dato’ dianugerahkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Zubir Ahmad.
Empat penerima Darjah Dato' Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran Dato’ dianugerahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman (SADA), Radzuan Osman; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Dato’ Abdul Gafar Yahya; Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Dato’ Zakaria Shaaban dan Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Dr Abdul Salim Tajudin.
Seorang penerima Darjah Dato' Setia Pahlawan (DDSP) yang membawa gelaran Dato’ ialah Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah.
Dua penerima Setia Sultan Sallehuddin Kedah (SSS) dianugerahkan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria dan Ahli Parlimen Alor Setar yang juga Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Seramai sembilan menerima Setia Diraja Kedah (SDK), iaitu Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAINK), Syeikh Mohamad Subhi Abdullah; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Maznim Ismail; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah, Ir Mohd Fisal Ismail.
Turut menerima anugerah SDK ialah Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Zulkifli Romli; Timbalan Pengarah Program Kesihatan Pergigian Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Jamaliah Omar dan Ketua Jabatan Pembedahan Saraf (Neurosurgeri) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Dr Adam Mohd Zakaria.
Penerima lain termasuk Pakar Perunding Kanan Bedah Umum HSB, Dr Manisekar K Subramaniam; Pengerusi Real Estate & Housing Developers Association (REHDA) Kedah/Perlis, Yeoh Su Guan dan Presiden Bismi Empire Sdn Bhd, Jaffri Ahmad.

0 Comments