PRESTASI EKONOMI SEMASA MEMBERANGSANGKAN, KEDAH BERPOTENSI LEBIH MAJU, MAKMUR - PENGANALISIS EKONOMI

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Kedah dilihat berada di landasan kukuh untuk muncul sebagai negeri lebih maju dan makmur berdasarkan prestasi ekonomi semasa yang semakin memberangsangkan.

Penganalisis ekonomi, Dr. Mohd Azwardi Md Isa berkata, Kedah mencatat pencapaian luar biasa dalam sektor pelaburan sepanjang 2024 dan awal 2025 sehingga muncul antara negeri paling kompetitif dalam menarik pelaburan domestik serta asing.

Menurutnya, negeri ini merekodkan pelaburan diluluskan sebanyak RM45.8 bilion pada 2024, meningkat daripada RM28.7 bilion pada 2023.

“Status Kedah sebagai antara negeri teratas yang menerima pelaburan asing juga patut dibanggakan. Malah Kedah juga berjaya menduduki tangga pertama dalam pelaburan diluluskan bagi sektor pembuatan tahun 2025, dengan nilai RM24.6 bilion, setanding dengan Johor dan mengatasi Pulau Pinang (RM22.4 bilion).

“Secara keseluruhan pelaburan diluluskan, Kedah merekodkan RM27.8 bilion, sekali gus meletakkan negeri ini di tangga kelima dalam negara,” katanya.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Perniagaan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, peningkatan hasil negeri sebanyak 6.11 peratus atau RM47.07 juta daripada RM769.53 juta pada 2024 kepada RM816.60 juta (2025) menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang konsisten selari dengan prestasi pelaburan yang memberangsangkan.

Tambah beliau, kejayaan Kerajaan Negeri merencana pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat turut mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang menzahirkan kepuasan hati terhadap pelbagai usaha memperkukuhkan ekonomi Kedah.

“Maklum balas positif daripada Jabatan Audit Negara juga membuktikan disiplin kewangan negeri berada pada tahap baik dan terkawal,” katanya lagi.

Mohd Azwardi berkata, selaras dengan aspirasi The Greater Kedah, Kerajaan Negeri berjaya mewujudkan ekosistem pelaburan yang kondusif menerusi pemerkasaan ekonomi digital, kepelbagaian sumber tenaga, peningkatan sistem pentadbiran, meningkatkan hubungan dalaman antara agensi negeri, serta penambahbaikan jaringan internet dan infrastruktur.

“Rekod kejayaan daripada perancangan dan pelaksanaan yang rapi membuahkan hasil apabila hasil negeri meningkat saban tahun, perbelanjaan terkawal serta kestabilan kewangan terus diperkukuh.

“Keadaan ini membuka ruang lebih luas untuk pembangunan Kedah pada masa depan,” katanya.

Tambah beliau lagi, keserasian barisan kepimpinan negeri dalam merancang dan melaksanakan dasar pembangunan turut menjadi faktor penting kepada pencapaian semasa.

“Kedah yang suatu ketika dahulu sering dipandang rendah sebagai negeri miskin kini semakin mendapat perhatian hasil kelebihan sumber alam, kedudukan strategik di utara Semenanjung selain kepimpinan negeri yang berwawasan, ia dijangka mampu melonjakkan Kedah sebagai sebuah negeri maju,” katanya.

Post a Comment

0 Comments