PRN JOHOR: PAS SASAR SAPU BERSIH 11 KERUSI DITANDINGI

 

SANUSI NAFI GERAKAN ‘MERAJUK’

Oleh: Roslinda Hashim

ALOR SETAR - PAS meletakkan sasaran memenangi kesemua 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, selain menyifatkan jumlah kerusi yang dipilih itu dibuat berdasarkan penilaian realistik terhadap peluang kemenangan.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, parti itu hanya bertanding di kerusi yang diyakini mempunyai potensi untuk dimenangi, sekali gus menjadi sebab jumlah kerusi yang ditandingi dikurangkan berbanding PRN 2022.

"Di Johor, 11 yang kita bertanding itu kita pilih yang boleh menang. Kalau tahu tak menang, tak payah bertanding.

"Kita bertanding 11 kerusi, jadi sasaran kita ialah menang kesemua 11 kerusi itu. Kita realistik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Kedah Kali Ke-49 di sini, hari ini.

PAS mengurangkan jumlah kerusi yang ditandingi daripada 15 pada PRN Johor 2022 kepada 11 kerusi kali ini.

Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan senarai calon PAS di Muar dengan lebih separuh daripadanya merupakan muka baharu, termasuk dua calon wanita, iaitu Normala Sudirman di DUN Tenang dan Yuhanita Yunan di DUN Pasir Raja.

PAS turut mengekalkan beberapa calon berpengalaman termasuk bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang bertanding di Kahang, manakala penyandang DUN Maharani, Abdul Aziz Talib tidak mempertahankan kerusinya.

Calon lain ialah Saifullah Abdul Wahab (Jementah), Arshed Yahya @ Awang (Simpang Jeram), Mohamad Anuar Hayan (Maharani), Muhammad Amin Sailan (Sungai Balang), Halim Kepol (Semerah), Ahmad Rosdi Bahari (Seri Medan), Hasnul Hakimi Hussein (Endau) dan Khirul Muntanazar Ismail (Tiram).

Daripada 15 kerusi yang ditandingi pada PRN 2022, PAS melepaskan empat kerusi iaitu Pemanis, Kemelah, Tenggaroh dan Bukit Kepong, sebaliknya mempertaruhkan Simpang Jeram sebagai kerusi baharu.

Mengulas dakwaan bahawa parti Gerakan enggan bertanding pada PRN Johor kerana dikatakan ‘merajuk’ tidak mendapat agihan kerusi dikehendaki, Sanusi menafikan, sebaliknya menjelaskan keputusan tersebut berpunca daripada isu dalaman parti berkenaan di peringkat negeri.

"Setahu saya, Gerakan ada isu dalaman antara Gerakan Pusat dengan Gerakan Johor. Saya pun tidak tahu apa isunya. Yang saya difahamkan, Gerakan Johor tidak bersedia untuk bertanding.

"Dakwaan Gerakan merajuk sebab tidak dapat kerusi itu tidak betul. Apa yang mereka minta dalam rundingan kerusi, itulah yang mereka dapat.

"Mereka minta kerusi campuran, bukan kerusi majoriti Melayu. Jadi dakwaan kononnya mereka tidak diberi kerusi Melayu memang tidak benar," katanya.

Post a Comment

0 Comments