‘KESELAMATAN NEGARA’ DIJADIKAN ALASAN HALANG TEROKA REE DI KEDAH - SANUSI

 

Oleh: Roslinda Hashim 

SUNGAI PETANI - Kerajaan Persekutuan menggunakan alasan ‘keselamatan negara’ (national security) bagi menghalang usaha Kedah meneroka unsur nadir bumi (REE) yang berada di bawah bidang kuasa negeri.

Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, alasan itu diberikan ketika isu penerokaan REE dibangkitkan dalam mesyuarat bersama Kerajaan Persekutuan, walaupun mineral berkenaan merupakan hak negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Apabila ditanya dalam mesyuarat, mereka kata ini soal ‘national security’. Habislah kita (guna alasan itu). REE bukan hak Persekutuan, tetapi hak negeri," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Dana PRU16 PAS Kawasan Sungai Petani di sini.

Sanusi berkata, Kedah sudah bersedia melaksanakan penerokaan REE mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan syarat ditetapkan, termasuk memperoleh kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) serta memenuhi keperluan 28 agensi teknikal, namun terdapat halangan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

"Kedah bersedia buat sebagaimana projek perintis di Kenering, Perak. Kita patuh semua syarat, dapatkan EIA dan kelulusan daripada 28 agensi. Tetapi tidak boleh dilaksanakan, rupanya mereka tarik tali,” katanya. 

Beliau berkata, projek perintis di Kenering, Perak menjadi rujukan negara dalam membangunkan SOP penerokaan REE selepas dipantau pelbagai agensi teknikal sehingga berjaya dilaksanakan. 

Menurut Sanusi, Kerajaan Negeri mahu diberikan kebebasan mengurus dan meneroka REE yang menjadi hak negeri, termasuk menawarkan projek berkenaan kepada pelabur yang mampu memberikan pulangan terbaik kepada negeri serta membangunkan rantaian nilai industri.

Katanya, deposit REE terbesar di Malaysia terdapat di Terengganu, Kelantan dan Kedah, manakala negeri ini mempunyai antara gred terbaik yang mampu menarik minat pelabur antarabangsa.

“REE merupakan mineral strategik yang kini menjadi rebutan kuasa-kuasa besar dunia. Kedah miliki gred REE terbaik. 

"Saya akan beri kepada pihak yang menawarkan nilai terbaik kepada Kedah. Datang beroperasi di sini, bina kilang pengasingan 17 elemen di Kedah dan beri harga terbaik kepada negeri kita," katanya.

Sanusi turut memaklumkan, beberapa wakil negara termasuk Amerika Syarikat, Perancis dan Australia telah menemui beliau bagi menyatakan minat terhadap potensi REE di Kedah.

"Semua duta datang jumpa kita sebab REE. Mereka kata mampu melakukan pengasingan 17 elemen dan bersedia bina kilang di Kedah. Orang Lynas pun datang.

“Persekutuan pula pergi merata, jaja ke beberapa negara. REE ini bukan milik Persekutuan, tetapi hak negeri,” katanya.

Semalam, Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-84, menggesa Kerajaan Persekutuan tidak mewujudkan sebarang halangan pentadbiran terhadap usaha pembangunan negeri termasuk pengurusan dan penerokaan REE.

Titah baginda selaras dengan pendirian Kerajaan Negeri bahawa sumber mineral strategik itu adalah hak Kedah dan perlu dimanfaatkan bagi memberikan pulangan terbaik kepada negeri serta rakyat.

“REE adalah harta Kedah, milik rakyat dan negeri Kedah,” tegas Sanusi. 

Dalam pada itu, beliau menempelak sikap Kerajaan Persekutuan yang cuba mengurangkan bidang kuasa negeri apabila beberapa fungsi, termasuk pengurusan industri air sebelum ini dipindahkan kepada Kerajaan Persekutuan.

"Negeri hanya diberi kuasa hal tanah, galian, air dan agama. Air sudah banyak berpindah kepada Persekutuan selepas Akta Wasia 2006. Tak kan yang dalam bidang kuasa negeri pun Persekutuan nak rampas lagi.

“Sekarang galian mineral pula hendak diambil. Jadi negeri tinggal apa?" soalnya.

Beliau turut mengingatkan Kerajaan Persekutuan agar mengingati sejarah yang menunjukkan peranan penting sesebuah negeri sebelum wujudnya Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Persekutuan wujud adalah hasil penyerahan kuasa oleh negeri-negeri melalui pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan seterusnya Perjanjian Malaysia 1963.

"Jangan sombong. Persekutuan wujud kerana negeri-negeri memberi kuasa. Negeri bukan menumpang Persekutuan. Kalau negeri tidak menyerahkan kuasa itu, Kerajaan Persekutuan tidak wujud.

“Sebelum perjanjian wujud, Kedah termasuk negeri lain miliki semua kuasa penuh di laut, darat,  

udara, semua negeri punya,” katanya.

Post a Comment

0 Comments