PRN JOHOR: PAS SANGGUP BANTU UMNO UNTUK KEKALKAN DOMINASI POLITIK MELAYU-ISLAM

 


 Oleh: Roslinda Hashim

MUAR - PAS sanggup mengetepikan perbezaan dengan UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor demi memastikan kuasa politik Melayu-Islam terus mendominasi negeri itu.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan PAS untuk bekerjasama dengan UMNO di Johor dibuat atas pertimbangan negeri itu perlu terus diterajui oleh kepimpinan Melayu-Islam.

"Kita mengambil pendekatan itu di Johor kerana penting menyelamatkan kuasa politik orang Islam. PAS boleh bekerjasama dengan UMNO untuk mendominasikan kuasa politik orang Islam di Johor.

"PAS tidak kuat di Johor. Yang penting ialah kuasa politik orang Melayu di Johor terus kukuh. Sebab itulah PAS sanggup menyokong UMNO," katanya ketika berucap pada ceramah Grand Finale PRN Johor di Simpang Jeram, Bakri, malam tadi.

Menurut beliau, demi kepentingan politik Melayu-Islam, PAS dan UMNO perlu melupakan perselisihan yang berlaku sebelum ini serta mengelakkan perpecahan berterusan kalangan orang Melayu.

Katanya, kerjasama tidak rasmi itu turut diterjemahkan melalui gesaan penyokong kedua-dua parti saling membantu bagi memastikan kemenangan calon masing-masing.

“PAS dan UMNO sama-sama Melayu, sama-sama Islam. Takkan lah tak boleh kita pertahankan kedudukan kita, ini pentingnya mengapa kita harus kerjasama. 

“Sebab itu PAS arahkan tempat UMNO bertanding, orang PAS tolong calon UMNO, maka tempat PAS tanding, orang UMNO juga boleh bantu PAS,” katanya.

Abdul Hadi turut menegaskan masyarakat tidak perlu bimbang sekiranya orang Melayu-Islam menguasai pentadbiran Johor kerana menurutnya, Islam mengamalkan pendekatan sederhana dan bukan ekstrem.

Beliau berkata, PAS juga mengalu-alukan sokongan masyarakat bukan Islam yang menolak fahaman ekstrem untuk bersama membentuk perpaduan politik yang lebih stabil.

"Pilihlah perpaduan, orang Melayu-Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem supaya Johor terus dipegang oleh kuasa politik orang Melayu-Islam.

“Saya sedar, ramai orang Cina, India, tak setuju pendekatan ekstrem. Sebab itu orang Cina tolak DAP di Sabah, tak setuju pendekatan ekstrem. Tak kan Cina di Johor tak boleh tolak DAP?” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu turut menggesa pengundi Melayu supaya keluar mengundi dan tidak memandang ringan tanggungjawab itu kerana kehilangan kuasa politik akan memberi kesan besar kepada kedudukan umat Islam di negara ini.

Beliau bimbang dengan gerakan yang mengerah pengundi Cina pulang mengundi, sedangkan masih ramai pengundi Melayu tidak menunjukkan kesungguhan untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Orang Melayu tak endah politik, sedangkan 134 NGO Cina kerahkan pengundi Cina balik mengundi. Orang Melayu ramai tak keluar mengundi. 

“Ingatlah, Nabi Muhammad SAW mengutamakan kemenangan kuasa politik, sebelum haji dan umrah. 

Kita tak mengundi sebab pergi umrah. Kalau orang Islam tak mengundi, bukan Islam mengundi dan menguasai politik, kuasa politik Islam akan hilang. Pentingnya kuasa politik Islam didahulukan,” jelas beliau.

Berikutan itu, katanya, PAS mengambil pendekatan dengan mengajak orang Islam bersatu selain mengajak bukan Islam yang tidak ekstrem untuk bersama.  

“Kita orang Islam perlu kembali semula kepada Islam yang sempurna, iaitu ad-din,” katanya.

Mengimbau sejarah politik negara, Abdul Hadi berkata, PAS dan UMNO pernah bersama-sama memperjuangkan kemerdekaan sebelum kedua-dua parti berpisah akibat perbezaan pendirian terhadap beberapa syarat yang ditetapkan pihak British.

“Selepas tidak bersama UMNO, PAS sertai pilihan raya umum 1955 sebagai parti politik. UMNO bergabung dengan MCA dan MIC. Dalam PRU itu, PAS bertanding 10 kerusi dan menang satu kerusi. 

UMNO bertanding lebih 50 kerusi dan menang habis,” katanya. 

Beliau turut mengimbas kerjasama PAS dengan Allahyarham Datuk Onn Jaafar pada Pilihan Raya 1959 sebagai bukti bahawa kerjasama politik antara parti-parti Melayu bukanlah sesuatu yang baharu.

“Datuk Onn keluar UMNO dan tubuhkan Parti Negara. Pada pilihan raya peringkat Parlimen, beliau kalah di Johor. PAS ambil Datuk Onn bertanding di Kuala Terengganu, dan menang sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu, menyaksikan Parti Negara bekerjasama dengan PAS pada 1959.

"Anak cucu kita perlu mengetahui sejarah ini. Sebab itu apabila timbul soal kerjasama PAS dengan UMNO di Johor, kita yakin kerjasama ini boleh dilaksanakan demi kepentingan kuasa politik orang Melayu-Islam," katanya.

Post a Comment

0 Comments