NEGARA PERLU DASAR BARU BERKAITAN PELAJAR ASING: JANGAN GADAI MASA DEPAN RAKYAT & NEGARA

 


Oleh: Dr. Haim Hilman Abdullah
Exco Pengajian Tinggi Negeri Kedah

Biar Data Berbicara

Tujuan pendedahan ini untuk melindungi kepentingan rakyat dan masa depan negara. Saya sama sekali tidak pernah menyatakan  bahawa universiti awam tidak boleh menerima pelajar asing.

Apa yang saya perjuangkan ialah kadarnya perlu terkawal berasaskan dasar jelas dan strategik demi memastikan kelangsungan rakyat untuk mendapat akses lebih baik di lima universiti terbaik negara terjamin.

Saya tidak memberi fokus kepada 15 IPTA yang lain kerana jumlah pelajar asing mereka boleh dirumuskan sebagai masih kecil & terkawal.

Pendedahan saya mengenai lambakan pelajar asing di UM, USM, UKM, UPM & UTM adalah bertujuan agar dasar sedia ada dapat disemak atau dasar baharu dapat dibangunkan.

Malangnya sehingga ke hari ini YBM KPT bersikap kesipuan dalam mendepani perkara ini dan pendekatan sedemikian boleh mendatangkan keresahan kepada rakyat.

Adakah pendekatan menggunakan naib canselor universiti berkaitan mempertahankan universiti masing-masing memberi gambaran yang KPT hari ini sedang menghadapi krisis kepimpinan & krisis tidak mampu menerima dan menangani kritikan?

Paling membimbangkan apabila para naib canselor berkaitan seperti menekankan keperluan menjaga kepentingan pendidikan tinggi untuk rakyat Malaysia hanya untuk peringkat ijazah sarjana muda sahaja. 

Tidakkah pengajian di peringkat pasca siswazah (master & PhD) juga penting buat rakyat dan negara? Tidakkah sumber iaitu dana pembayar cukai turut digunakan untuk segala aspek pengoperasian aktiviti pengajaran dan pembelajaran di peringkat pasca siswazah?

Jawapannya penting tetapi jika diambil kira pelajar asing di peringkat ijazah sarjana muda dan pasca siswazah (master & PhD) maka terdedahlah data jumlah pelajar asing yang jauh lebih tinggi di 5 universiti awam utama berkaitan seperti dikongsikan.

Para naib canselor universiti berkaitan juga kerap mengatakan bahawa kemasukan pelajar asing ini amat penting untuk tujuan ranking universiti dalam QS World University Ranking atau yang seumpama dengannya.

Pasti ramai tidak tahu bahawa SUMBANGAN MARKAH untuk INDIKATOR PELAJAR ASING HANYALAH 5% SAHAJA DARI MARKAH KESELURUHAN DALAM QS World University Rankings. 

Untuk tujuan kefahaman dan pendidikan, saya akan kupas berkaitan indikator QS World University Rankings dalam siri Biar Data Berbicara berikutnya.

Kembali kepada isu kebanjiran pelajar asing. Sila rujuk infografik di mana jelas menunjukkan bahawa JUMLAH PENINGKATAN PELAJAR ASING SEMAKIN MEMBIMBANGKAN.

UM 2020 = 4,113 orang @ 11.5%
UM 2025 = 12,043 orang @ 25.9%

USM 2020 = 3,051 orang @ 9.6%
USM 2025 = 8,730 orang @ 25.1%

UKM 2020 = 2,042 orang @ 6.6%
UKM 2025 = 9,191 orang @ 20.7%

UPM 2020 = 4,884 orang @ 17.1%
UPM 2025 = 6,281 orang @ 21.5%

UTM 2020 = 4,658 orang @ 14.2%
UTM 2025 = 4,652 orang @ 15.1% 

PELAJAR UM, USM, UKM, UPM, UTM 2025
Total Pelajar Tempatan: 145,727 orang 
Total Pelajar Asing: 40,097 orang
Total Pelajar: 186,824 orang
@ PERATUS PELAJAR ASING: 21.5%

Adalah jelas peratus kenaikan pelajar asing lebih tinggi berbanding pelajar tempatan.

PERBANDINGAN TEMPOH 2020 HINGGA 2025: PELAJAR ASING NAIK 76.3% manakala PELAJAR TEMPATAN NAIK 3.2% SAHAJA.

Dari data tersebut menunjukkan ada seorang pelajar asing untuk setiap lima orang pelajar.

Namun demikian jika di UM sahaja, keadaannya berbeza di mana peratus pelajar asing pada 2025 ialah 25.9%. Ini bermakna ada seorang pelajar asing untuk setiap empat orang pelajar.

Realiti ini jauh berbeza dengan negara China yang semakin maju hari ini di mana mereka memberi tempat tidak sampai 1% kepada pelajar asing dari lebih 58 juta tempat (sarjana muda & pasca siswazah @ master & PhD) yang ada di universiti-universiti mereka. 

Boleh dirumuskan bahawa mereka mengutamakan rakyat mereka terlebih dahulu kerana percaya masa depan negara bergantung kepada tahap pendidikan yang dimiliki oleh rakyat.

Post a Comment

0 Comments