PAS TOLAK ‘POLITIK LUAR TABII’, TIADA HUBUNGAN KERJASAMA DENGAN PH

 

Oleh: Roslinda Hashim

MUAR - PAS menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) kerana gabungan itu dianggotai DAP yang membawa fahaman sekular, selain perbezaan prinsip melibatkan perjuangan Islam yang tidak boleh dikompromi.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pendirian itu menjadi asas mengapa PAS mengambil keputusan memutuskan hubungan politik dengan PH selepas pernah bekerjasama suatu ketika dahulu.

"Dalam PH ada DAP, PKR dan Parti Amanah. DAP membawa fahaman ekstrem iaitu, sekular yang memisahkan politik daripada agama. Sebab itu kita menolak kerjasama dengan mereka, kerana perlembagaan parti itu membahayakan.

“PKR pula parti Islam sekularisme, pragmatik yang berubah-ubah. Mereka tidak istiqamah dan tak konsisten," katanya ketika berucap pada ceramah Grand Finale Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Simpang Jeram, Bakri, malam tadi.

Abdul Hadi berkata, DAP turut membawa gagasan Malaysian Malaysia yang menurutnya bercanggah dengan konsep kepelbagaian bangsa dan kaum sebagaimana ditetapkan oleh ALLAH SWT.

Beliau menyifatkan usaha menghapuskan identiti bangsa sebagai bertentangan dengan fitrah manusia dan menggelarkan ia sebagai ‘politik luar tabii’ yang tidak boleh diterima.

“DAP parti yang tak pandai Bahasa Melayu, tiada semangat kebangsaan. Mereka mahu hapuskan bangsa. Bangsa tak boleh dihapus tetapi mereka mahu wujudkan Malaysian Malaysia. 

“Bangsa Malaysia yang tak ada Melayu, tak ada apa-apa. Ini kejadian ALLAH SWT yang menjadikan manusia itu berbangsa, kaum dengan pelbagai bahasa dan budaya. Ini tabii, sifat semula jadi namun ramai orang mula ikutinya. Politik luar tabii, tak boleh, sebab itu kita tolak kerjasama,” katanya. 

Mengulas hubungan PAS dengan DAP sebelum ini, beliau berkata, kerjasama tersebut hanya bertujuan menentang rasuah, penyelewengan, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan beberapa dasar Kerajaan Pusat pada ketika itu.

Bagaimanapun, katanya, kerjasama tersebut berakhir apabila DAP meminta PAS mengetepikan perjuangan menegakkan Islam.

"DAP menentang bila PAS mahu haramkan judi di Kelantan, sedangkan Perlembagaan memperuntukkan hukum Islam hanya dikenakan kepada orang Islam. Orang bukan Islam tidak dikenakan, namun DAP tetap campur tangan.

“Ada juga pemimpin PAS yang tidak bersetuju dengan pendirian parti, mereka meninggalkan PAS dan menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah),” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi menjelaskan Islam tidak melarang umatnya berlaku baik dan adil terhadap bukan Islam yang tidak memusuhi orang Islam.

Sebaliknya, Islam melarang kerjasama politik dengan golongan bukan Islam yang bersifat ekstrem serta bertujuan menguasai politik umat Islam.

Ahli Parlimen Marang itu tegaskan, kepimpinan tertinggi negara serta pembentukan dasar kerajaan sewajarnya diterajui orang Islam memandangkan Islam merupakan agama majoriti di negara ini.

"Politik dalam Islam adalah sebahagian daripada agama yang menuntut keadilan kepada semua kaum. Islam tidak memaksa orang bukan Islam memeluk agama Islam dan memberi kebebasan kepada mereka mengamalkan agama masing-masing.

"Undang-undang Islam dikenakan kepada orang Islam, manakala undang-undang awam melibatkan semua rakyat tanpa mengira agama. 

“Kabinet yang membuat dasar, mesti dipimpin orang Islam. Kabinet eksekutif, yang mentadbir dan mengurus kehidupan boleh lantik orang bukan Islam. Melibatkan orang bukan Islam dalam pentadbiran kerajaan bukannya suatu masalah,” katanya.

Post a Comment

0 Comments