PRN JOHOR: GELOMBANG 70 PERATUS, SUMPAH KERAMAT BN JADI PENENTU

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijangka menyaksikan kadar keluar mengundi antara 70 hingga 75 peratus, sekali gus berpotensi mengubah landskap politik negeri itu selain menjadi penentu kekuatan Barisan Nasional (BN).

Menurut penganalisis politik, Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, PRN kali ini bukan sekadar medan pertandingan politik biasa, sebaliknya menjadi ujian penting terhadap pengaruh BN dalam landskap politik baharu.

“Saya unjurkan kadar keluar mengundi melonjak kepada 70 hingga 75 peratus. Kita lupakan memori suram PRN 2022, di mana kadar keluar mengundi hanya 54.92 peratus akibat igauan pandemik dan sempadan Singapura yang masih ketat pada ketika itu.

“PRN Johor ini juga akan menjadi medan ujian 'hidup mati' BN dalam acuan politik baharu,” katanya. 

Beliau berkata, unjuran 70 peratus itu dibuat berdasarkan kaedah normalisasi data semasa dengan mengambil kira kadar keluar mengundi 54.92 peratus pada PRN Johor 2022, dengan pertambahan 15 hingga 20 peratus ‘pengundi terperangkap’ yang sebelum ini berada di Singapura dan kini bebas pulang untuk mengundi.

"Momentum itu turut disokong oleh kadar keluar mengundi awal yang mencecah 82 peratus pada 7 Julai, sekali gus menunjukkan tahap kesediaan dan minat pengundi yang tinggi.

“Kali ini, landskapnya berubah. Unjuran formula ini adalah berpijak di bumi nyata,” katanya.

Namun, katanya, faktor kritikal ialah pelaksanaan Undi18 dan Pendaftaran Pengundi Automatik (AVR) yang pertama kali digunakan dalam PRN Johor, melibatkan seramai 2,727,926 pemilih. 

“Golongan pengundi muda ini adalah penentu sebenar keputusan pilihan raya, yang tidak peduli tentang nostalgia kehebatan masa lalu parti,” katanya.

Ahmad Zaharuddin Sani berkata, jika peratusan keluar mengundi kekal rendah di bawah 60 peratus, BN masih mempunyai kelebihan menerusi kekuatan jentera serta kelompok penyokong tegar tradisinya.

Namun katanya, jika kadar itu melepasi 70 peratus, kubu tradisi BN berdepan ‘bahaya’ dengan cabaran lebih besar apabila kemasukan pengundi baharu mampu mengubah corak sokongan.

“Johor adalah tempat lahirnya UMNO. Kehadiran jutaan pengundi baharu akan cairkan ‘undi setia’ BN, memaksa mereka membuktikan sama ada jenama BN masih relevan atau ditolak generasi muda.

“Kepulangan pengundi luar ke kawasan bandar dan campuran seperti Johor Bahru dan Kulai akan menguntungkan Pakatan Harapan (PH) sebagai rakan BN dalam Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.

Tambah beliau, sekiranya peningkatan keluar mengundi didorong oleh anak muda Melayu di kawasan pinggir bandar yang terkesan dengan isu kos sara hidup, Perikatan Nasional (PN) berpotensi meraih sokongan melalui undi protes.

"Kesimpulannya, kadar keluar mengundi 70 peratus ini boleh menjadi talian hayat atau pedang dua mata kepada BN. Jika gagal menawan hati pengundi muda, PRN Johor ini berpotensi menyaksikan runtuhnya kubu keramat BN ini," katanya.

Post a Comment

0 Comments