TAK WAJAR DIJAJA SEBAGAI ‘JASA’ DALAM KEMPEN POLITIK
Oleh: Roslinda Hashim
MERSING - Agihan peruntukan dan pelaksanaan projek pembangunan oleh Kerajaan Persekutuan tidak boleh dijadikan modal kempen politik atau dijaja sebagai 'jasa' mana-mana parti politik, kerana ia merupakan tanggungjawab yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pilihan raya merupakan persaingan antara parti-parti politik untuk membentuk kerajaan, bukannya pertandingan antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan.
"Dalam sistem demokrasi, yang masuk pilihan raya ialah parti politik, PN, BN dan PH, bukannya kerajaan. Rakyat memilih parti untuk membentuk kerajaan, bukan memilih wakil Kerajaan Negeri atau wakil Kerajaan Persekutuan.
"Semua projek pembangunan, peruntukan dan kemudahan asas menggunakan wang kerajaan, bukan wang parti politik," katanya ketika berucap pada Ceramah Mega N32 Endau di sini, malam tadi.
Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat berkata, sebaliknya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing menggunakan kedudukan sebagai Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk mempengaruhi pengundi sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“BN jaja jasa sebagai Kerajaan Negeri. PH pula jaja jasa sebagai Kerajaan Persekutuan. Pakat berlawan dalam PRN Johor nak menang,” katanya.
Sanusi turut menempelak kenyataan Perdana Menteri bahawa Kerajaan Persekutuan mengembalikan lebih banyak peruntukan kepada Johor berbanding kutipan cukai daripada negeri itu, yang tidak sepatutnya digambarkan sebagai ihsan kerajaan.
“PM kata di Johor kutip RM14 bilion, beri balik RM16 bilion. Persekutuan memang wajib melaksanakan pembangunan di negeri-negeri kerana itu tanggungjawab yang dipersetujui apabila negeri-negeri menyerahkan sebahagian kuasa untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.
“Beliau bercakap seolah negeri-negeri menumpang Persekutuan. Jangan gambarkan seolah-olah Kerajaan Persekutuan bantu negeri kerana negeri lemah.
“Negeri-negeri ada kuasa sendiri, tetapi sebahagiannya diserahkan kepada Persekutuan melalui perjanjian pembentukan negara. Peruntukan itu diberi atas tanggungjawab dalam perjanjian, bukan sebab ihsan atau baik,” katanya.
Beliau turut mempertikaikan agihan peruntukan pembangunan yang tidak seimbang antara negeri-negeri.
Antaranya, Pulau Pinang menerima RM16 bilion bagi pelaksanaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), sedangkan Johor memperoleh jumlah sama bagi keseluruhan projek pembangunan negeri.
“Mulanya projek bernilai RM4 bilion, dinaikkan RM9 bilion dan ketika Anwar menjadi PM, jadi RM16 bilion.
Pulau Pinang mempunyai 1.7 juta penduduk menerima RM16 bilion untuk satu projek, Johor lebih empat juta penduduk terima RM16 bilion bagi semua projek. Adakah itu adil?
“RM16 bilion jika agih, setiap negeri dapat RM2 bilion. Pulau Pinang untung sebab diterajui DAP, parti PKR, Amanah, UMNO semua dalam poket dia. DAP mendominasi kerajaan di Pulau Pinang, maka peruntukan Persekutuan turun banyak ke sana,” jelasnya.
Sanusi turut membidas Kerajaan Persekutuan yang masih menggunakan program serta aset kerajaan bagi tujuan berkempen walaupun sebelum ini memberi jaminan bahawa jentera kerajaan tidak akan digunakan untuk kepentingan politik.
“Mereka masih guna jentera dan aset kerajaan untuk kempen pilihan raya. Cakap lain, buat lain, dari dulu sampai sekarang tak berubah,” katanya.
Sehubungan itu, Sanusi menggesa pengundi Johor membuat penilaian secara matang terhadap parti-parti yang bertanding dan memilih kerajaan berdasarkan keupayaan mentadbir serta menunaikan tanggungjawab kepada rakyat.
“Fikir betul-betul sebelum mengundi. PH dan BN buat ‘drama’ di Johor, tiada kerjasama bertanding masing-masing. Di peringkat Persekutuan mereka bekerjasama.
“Mari kita bina politik baharu, pilih parti dan bentuk kerajaan yang boleh tunai kewajipan sesuai dengan tanggungjawab sebuah kerajaan. Rakyat sudah celik sekarang, tembelang mereka semakin hari semakin pecah,” katanya.

0 Comments