Oleh: Zulkifli Yahaya
Ketua Penerangan PAS Kedah
Tahniah kepada Barisan Nasional (BN) Johor yang telah memenangi Pilihanraya Umum Negeri ke 16 (PRN 16) sekaligus menyekat gabungan yang didominasi DAP dari berkuasa.
Gabungan persubahatan dengan DAP ini mengulangi kegagalan yang mereka alami dalam pilihan raya umum Negeri Sabah tahun lalu. Ia adalah praktis cemerlang rakyat Malaysia yang menolak agenda melampau, chauvinisme dan liberalisme. Semoga ia berterusan.
Kepada UMNO, ia memberi sebesar-besar pengajaran bahawa slogan “UMDAP Mantap” tidak lagi relevan untuk survival parti itu.
UMNO kini tampak kuat untuk berdikari. UMNO sudah boleh membuat perkiraan untuk menyahkan diri dari Kerajaan Perpaduan atau menyingkirkan segelintir kepimpinan tertinggi parti yang masih degil mahu menjayakan agenda “UMDAP Mantap”.
Keputusan PRN Johor ke 16 ini juga memberi gambaran bahawa PAS masih belum diterima dengan baik di Johor. Apapun, kegagalan PAS untuk menang walau satu kerusi di Johor sama saja situasinya dengan UMNO yang gagal menang walau satu kerusi DUN di Kedah dan Terengganu (PRU 15); dua negeri di mana PAS kuat berbanding UMNO. Ia adalah pola dinamik politik Malaysia.
UMNO yang dianggap kuat di Johor juga pernah tumbang pada PRU ke 14. Kekuatan politik itu tidak kekal untuk mana-mana parti pun.
Semoga PAS Johor dapat bermuhasabah ekoran kekalahan teruk PRN Johor yang baru berlaku ini. Binalah kekuatan sendiri, tingkatkan pengupayaan menambah ahli dan cawangan di seluruh negeri. Takkanlah setiap kali pilihanraya nak hadap situasi yang sama; tidak cukup jentera di semua peringkat. Belajarlah dari negeri-negeri maju PAS untuk meningkatkan kekuatan PAS di Johor.
Sementara di Kedah, serta negeri-negeri yang dianggap dominan PAS, ambillah iktibar dari keputusan PRN Johor. Memantapkan kekuatan jentera parti itu penting untuk mengekalkan kemenangan. Menjadi juara di media sosial seperti PH dan ‘Kancil’ namun tidak menguasai khalayak bersama denyut nadi rakyat jelata secara fizikal, tidak menjanjikan sokongan dari rakyat.
Semoga Kerajaan Madani yang didominasi DAP dapat ditumbangkan pada PRU16 berkat permuafakatan rakyat Malaysia yang cintakan keharmonian dan kesejahteraan rakyat.

0 Comments