PH AKAN ‘REBAH’ DALAM PRU16 JIKA KALAH DI JOHOR - SANUSI

 


Oleh: Roslinda Hashim 

MERSING - Sekiranya Pakatan Harapan (PH) kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, ia akan menjadi titik permulaan kejatuhan Kerajaan Persekutuan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Dato' Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, PRN Johor bukan sekadar memilih Kerajaan Negeri, sebaliknya menjadi referendum rakyat terhadap Kerajaan Persekutuan pimpinan PH.

"Kalau kita kalahkan PH di Johor, di peringkat Persekutuan mereka akan rebah dalam PRU16 akan datang. Jika kita nak rebahkan PH dalam PRU16, rebahkan mereka di Johor dulu," katanya ketika berucap pada Ceramah Mega N32 Endau di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, Sanusi menggesa pengundi memberikan sokongan penuh kepada calon PN di 33 kerusi yang ditandingi gabungan itu, terutama memberi kemenangan di 11 kerusi diwakili PAS.

"Ini negara demokrasi. Kita diberi kuasa untuk mengundi. Di tempat PN bertanding, jangan ragu-ragu, undilah calon PN. 

“PAS bertanding 11 kerusi dan kita boleh jadi pembantu yang setia atas dasar mahu mempertahankan kuasa politik orang Melayu dan Islam di Johor," katanya.

Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat berkata, di kawasan yang tidak ditandingi PN, pengundi disaran memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) bagi memastikan PH gagal mempertahankan pengaruhnya di negeri itu.

"Di tempat PN tidak bertanding, undilah BN dengan harapan mereka insaf dan tidak lagi percaya kepada DAP. Kita mahu mereka sedar siapa sebenarnya kawan dan siapa lawan.

“PAS ada kekuatan, kita sesama Islam, Melayu dan bangsa. Kami nak tolong, janganlah sombong,” katanya.

Tambah beliau, pendirian PAS membantu BN di Johor bukan didorong kepentingan politik sempit atau individu, sebaliknya demi mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan negeri.

"Kita nak tolong demi agama dan bangsa, bukan kerana individu. Jangan sampai PH menang. Itulah tujuan utama PAS menyertai PRN Johor supaya mereka tidak bongkak, tidak menipu, tidak memanipulasi dan tidak menyalahgunakan kuasa.

“Mereka yang ada kuasa pula diharap insaf dan kenal siapa kawan, siapa lawan. Kuasa politik Melayu-Islam perlu dijaga, mari kita bersatu bawah PAS. 

“Jadi di kerusi PN bertanding, beri undi kepada PN. Kerusi PN tak bertanding, kita kalahkan PH dengan beri undi kepada BN,” katanya.

Menteri Besar Kedah itu turut melahirkan simpati kepada BN Johor yang menyaksikan parti itu ‘ditekan’ oleh PH yang merupakan rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.

“BN yang tolong PH jadi Kerajaan Persekutuan. Dalam PRN Johor, PH ‘tenyeh’ BN. Saya kesian tengok kawan-kawan saya dalam UMNO. Kita berasa simpati,” katanya.

PRN Johor menyaksikan PN meletakkan calon di 33 daripada 56 kerusi DUN, dengan agihan 16 kerusi kepada BERSATU, 11 diwakili PAS, lima kerusi diwakili Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan satu kerusi kepada Pejuang.

PH dan BN masing-masing bertanding di kesemua 56 kerusi DUN, sementara Parti Bersama bertanding di 15 kerusi dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bertanding di empat kerusi. 

Dalam pada itu, Sanusi turut mengimbau sejarah penyertaan PAS dalam Barisan Nasional (BN) pada era 1970-an, yang menurutnya menyebabkan parti itu lewat bertapak di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Bila berlaku tragedi 13 Mei 1969. Tun Abdul Razak Hussein mengajak PAS sertai Kerajaan Perpaduan, sebelum ditubuhkan Barisan Nasional. PAS yang bagi nama Barisan Nasional pada 1974. Tahun 1978, PAS ditendang keluar. 

“Pada tahun 1974, PAS masuk pilihan raya atas nama Barisan Nasional dengan syarat. Dalam BN ketika itu, PAS tidak meletakkan calon di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan kerana menghormati perjanjian. 

“Sebab itu PAS bermula lewat di negeri-negeri ini. Jika kita bermula serentak seperti di Kedah dan Kelantan, saya percaya PAS sudah lama kuat di Johor," katanya.

Beliau turut menegaskan perjuangan PAS kekal berteraskan Islam serta mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Islam.

"Dasar kita Islam, kekal sampai sekarang. Perjuangan kita untuk orang Islam dan orang Melayu tidak pernah berhenti. Pemimpin PAS bersih, tidak terpalit rasuah. Jadi rakyat Malaysia tidak ada pilihan lain," katanya.

Post a Comment

0 Comments