“ANWAR JADI PM DENGAN BANTUAN BN, PRN JOHOR MASING-MASING TOKAK” - SANUSI

 

Oleh: Roslinda Hashim 

MERSING - Kerajaan Persekutuan diterajui Pakatan Harapan (PH) hanya dapat dibentuk selepas memperoleh sokongan Barisan Nasional (BN).

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Dato' Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata , tanpa sokongan BN, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan dapat membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.

"Anwar jadi Perdana Menteri dengan bantuan BN. BN ada 30 kerusi, dicampur 30 kerusi PKR, DAP 40 kerusi, campur Amanah serta sokongan parti dari Sabah dan Sarawak, maka terbentuklah kerajaan.

"Orang BN termasuk di Johor yang menobatkan Anwar sebagai Perdana Menteri. Kalau mereka tidak sokong, Anwar tak akan jadi Perdana Menteri," katanya ketika berucap pada Ceramah Mega N32 Endau di sini, malam tadi.

Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat berkata, adalah tidak wajar Anwar mengkritik Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sedangkan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri bergantung kepada sokongan BN.

“Anwar marahkan MB Johor. Dia kata, Onn Hafiz budak tak cerdik, tak baca buku. Dia lupa dia boleh jadi PM sebab mereka sokong dia. Kalau tak sokong dia di Persekutuan, dia tak boleh jadi PM. Bila dah berkuasa datang marah-marah MB Johor,” katanya.

Menurutnya, pengundi BN seharusnya menilai perkara itu dan tidak lagi memberikan sokongan kepada PH pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

“Orang BN kena marahkan Anwar, marah PH, janganlah undi mereka. Undi PAS dan PN,” katanya.

Tambah beliau, keadaan itu menunjukkan PH dan BN mengambil pendekatan berbeza antara politik di peringkat Persekutuan dan negeri, manakala PN menawarkan pilihan alternatif terbaik kepada pengundi.

"Di Persekutuan PH-BN bekerjasama jadi UMDAP, tetapi PRN Johor mereka berasingan, masing-masing tokak, tak ada UMDAP.

“Bila datang berkempen di Johor, mereka buat macam tidak kenal antara satu sama lain. BN tak kenal PH, PH tak kenal BN. Lawan serentak di semua kerusi seolah-olah tiada kerjasama (Pusat).

“Kita (PN) masuk di tengah-tengah, undi mereka boleh dapat pada kita,” katanya.

Mengulas mengenai kepentingan pilihan raya, Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah berkata, setiap rakyat yang layak mengundi mempunyai tanggungjawab besar menentukan parti yang akan membentuk kerajaan di peringkat negeri mahupun Persekutuan.

"Pilihan raya diadakan setiap empat atau lima tahun. Rakyat diberi hak mengundi untuk memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen.

"Penting untuk memilih pemimpin dan parti yang akan membentuk kerajaan. Kalau silap pilih, dapat PH. Kalau pandai pilih, dapat PN. Kalau keliru nak pilih mana, dapat BN. Guna hak yang diberikan oleh Perlembagaan dengan sebaik-baiknya," katanya.

Post a Comment

0 Comments