ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah telah memulakan sesi libat urus awal dengan Kerajaan Persekutuan bagi menetapkan semula hala tuju Pulau Langkawi sebagai pulau bebas cukai sepenuhnya.
Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, usaha itu menjadi antara fokus utama Kerajaan Negeri bagi memperkukuh kedudukan Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama negara, selain merancakkan semula sektor pelancongan di pulau peranginan tersebut.
Menurut beliau, usaha itu juga selaras dengan titah Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah sempena Istiadat Perasmian Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 13 April lalu.
"Patik yakin akan kebijaksanaan Tuanku dalam usaha memperkukuh dan merancakkan lagi sektor pelancongan di Pulau Langkawi yang kekal menjadi Permata Kedah selamanya," katanya.
Beliau berkata demikian pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah Ke-84 di Balairung Seri, Istana Anak Bukit, hari ini.
Sebelum ini, Sultan Sallehuddin menyeru agar Kerajaan Persekutuan dapat mengembalikan semula status Pulau Langkawi sebagai pulau bebas cukai dengan keistimewaan yang dinikmati sebelum ini.
Baginda bertitah, walaupun status Langkawi sebagai pulau bebas cukai masih kekal, namun beberapa keistimewaan yang sebelum ini dinikmati telah dikurangkan.
Sanusi memaklumkan, sektor pelancongan negeri dijangka berdepan cabaran pada tahun ini berikutan ketegangan krisis di Asia Barat yang berpotensi menjejaskan pergerakan pelancong antarabangsa.
Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri melalui Kedah Tourism mempergiat usaha promosi pelbagai destinasi baharu termasuk Port Padang Garam di Kuala Kedah, Kopi Waktu di Ulu Sedaka, Yan serta Rock Village di Kampung Kura, Sik menerusi pelbagai platform komunikasi termasuk media sosial.
“Sektor pelancongan pada tahun 2025 telah mencatatkan kejayaan membanggakan dengan kehadiran tujuh juta pelancong dari dalam dan luar negara, seperti disasarkan sempena Tahun Melawat Kedah 2025,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, Kerajaan Negeri turut memperluaskan usaha mengintegrasikan sektor pertanian dengan pelancongan menerusi pembangunan produk agro-pelancongan sebagai langkah menambah pendapatan petani dan memperkukuh jaminan keselamatan makanan negeri.
“Kampung Matang Kenanga di Jerlun menawarkan pengalaman kehidupan pesawah serta suasana kawasan bendang kepada pelancong, manakala mempelam Harumanis D'Aman turut berpotensi besar sebagai produk agro-pelancongan.
"Sehingga kini, tanaman Harumanis D'Aman diusahakan oleh 290 pengusaha meliputi kawasan seluas 109.37 hektar dengan pengeluaran semusim 143,000 kilogram bernilai RM4.29 juta," katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri dalam memelihara alam sekitar menerusi pelaksanaan pelbagai dasar dan inisiatif dengan kerjasama strategik pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurutnya, program Car Free Saturday anjuran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat sebagai usaha mengurangkan pelepasan karbon di pusat bandar.
“Komitmen PBT turut diiktiraf di peringkat nasional apabila MBAS dan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) menerima pengiktirafan Bandar Rendah Karbon Tahun 2026.
“Pengiktirafan ini membuktikan kesungguhan PBT di negeri ini dalam menjayakan agenda kelestarian, ekonomi kitaran serta pembangunan hijau,” ujar beliau.

0 Comments