KUKUHKAN INSTITUSI KELUARGA ASAS KEHARMONIAN, KEMAKMURAN NEGERI - RAJA MUDA KEDAH

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Kemakmuran sesebuah negeri tidak hanya bergantung kepada kemajuan fizikal semata-mata, sebaliknya bermula dengan keharmonian institusi keluarga yang menjadi asas kepada pembentukan masyarakat sejahtera.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bertitah, keluarga merupakan tempat pertama yang membentuk keperibadian insan serta menyemai nilai kasih sayang, hormat-menghormati, tanggungjawab serta ihsan yang menjadi teras kepada perpaduan masyarakat.

Titah baginda, pembinaan institusi keluarga yang mampan perlu diperkukuhkan menerusi penerapan adab mulia, akhlak yang baik serta nilai moral yang tinggi sejak anak-anak masih kecil.

"Anak-anak perlu dibimbing sejak kecil agar setiap salah faham tidak dibiarkan berpanjangan, sebaliknya diselesaikan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-84 di Balairung Seri, Istana Anak Bukit, hari ini.

Tengku Sarafudin Badlishah turut menegaskan keharmonian keluarga hanya dapat dipelihara menerusi komunikasi yang berhemah, bukan sekadar berbicara, malah bersedia mendengar dengan penuh empati, menghormati perbezaan pendapat serta mencari titik persefahaman demi kebaikan bersama.

Selain itu, baginda bertitah, amalan saling memaafkan dan melupakan perselisihan yang berlaku perlu sentiasa diutamakan bagi membuka lembaran baharu serta memperkukuhkan kasih sayang dan persefahaman dalam keluarga.

"Pertelingkahan yang dibalas dengan pertelingkahan tidak akan melahirkan penyelesaian, sebaliknya hanya menghakis kasih sayang, kepercayaan dan perpaduan," titah baginda.

Pada masa sama, Raja Muda Kedah mengingatkan bahawa cara paling mudah untuk melemahkan sesebuah pihak ialah dengan memecah-belahkan perpaduannya.

“Kekuatan sebenar bukan terletak pada bilangan, sebaliknya pada kesatuan hati kerana keluarga dan masyarakat yang bersatu, tidak mudah digugat oleh sebarang anasir yang boleh menjejaskan keharmonian serta kesejahteraan.

"Apabila institusi keluarga kukuh, kukuhlah masyarakat; apabila masyarakat bersatu, maka teguhlah negeri; dan apabila negeri teguh, maka terpeliharalah kedaulatan takhta serta kemakmuran rakyat," titah baginda.

Tengku Sarafudin Badlishah turut menzahirkan keyakinan bahawa keharmonian yang dikecapi Kedah hari ini lahir daripada pemerintahan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang sentiasa menekankan nilai muafakat, kesederhanaan dan perpaduan.

“Negeri ini bertuah kerana dinaungi Tuanku Sultan yang menjadi lambang perpaduan, kestabilan dan kesejahteraan rakyat sehingga masyarakat berbilang kaum, budaya, bahasa dan agama dapat hidup dalam suasana aman serta harmoni.

“Kepelbagaian ini bukanlah jurang pemisah, sebaliknya menjadi kekuatan yang memperkayakan negeri Kedah,” titah baginda.

Post a Comment

0 Comments