KEDAH KEKAL DESTINASI PELABURAN KOMPETITIF, REKOD RM183.7 BILION BAGI TEMPOH LIMA TAHUN

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Kedah terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan kompetitif apabila merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM183.7 bilion dalam tempoh lima tahun (2021-2025).

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, ia sekali gus membuktikan agenda pembangunan negeri menerusi gagasan ‘The Greater Kedah’ berada di landasan tepat meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

Menurutnya, pencapaian itu dicapai walaupun ekonomi dunia terus berdepan cabaran susulan konflik di Asia Barat, namun kedudukan strategik negeri ini serta ekosistem pelaburan sedia ada berjaya mengekalkan keyakinan pelabur.

“Pencapaian ini disokong oleh tadbir urus Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang komited serta mesra pelabur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-84 di Balairung Seri, Istana Anak Bukit, hari ini.

Menurut Sanusi, keyakinan pelabur itu turut diterjemahkan melalui keputusan syarikat berpangkalan di Austria, AT&S yang menambah pelaburan sebanyak RM10 bilion di Kulim Hi-Tech Park baru-baru ini.

"Selain Kulim Hi-Tech Park, tumpuan turut diberikan kepada Kulim Industrial Corridor, Kedah Rubber City serta Bukit Kayu Hitam Special Border Economic Zone (BKH-SBEZ) menerusi projek strategik seperti Delapan SBEZ dan Kedah Science & Technology Park (KSTP) yang merekodkan pelaburan awal bernilai RM1.4 bilion yang kini sedang direalisasikan," katanya.

Sanusi memaklumkan, bagi memastikan pelaburan berimpak tinggi dapat direalisasikan mengikut perancangan, Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada penyelarasan strategik dan pemantauan berterusan menerusi Sekretariat The Greater Kedah serta Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Kedah.

Katanya, usaha itu bertujuan meningkatkan hasil negeri di samping mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat.

“Bagi memastikan rakyat Kedah dapat rebut ribuan peluang pekerjaan bernilai tinggi yang terhasil daripada kemasukan pelaburan dan pelaksanaan projek-projek strategik, Kerajaan Negeri melancarkan ‘Program Kedah Young Professionals’ sebagai inisiatif strategik memperkukuh  pembangunan modal insan yang memberi manfaat kepada 1,000 anak muda Kedah.

"Kerajaan negeri juga sedang merangka Kedah TVET Implementation Roadmap yang dijangka siap pada suku ketiga tahun ini bagi menyediakan hala tuju pembangunan TVET serta melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

"Melalui dasar pembangunan TVET negeri, kita yakin taraf kehidupan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dapat dipertingkatkan menerusi peluang pekerjaan yang lebih baik dan peningkatan sosioekonomi keluarga," katanya.

Menyentuh aspek kebajikan rakyat, beliau berkata, Kerajaan Negeri terus memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat menerusi pelbagai inisiatif termasuk Bantuan Beras Sejahtera, Bantuan Permataku Sejahtera, Bantuan Perubatan Sejahtera dan Bantuan Sejahtera Pesakit Terlantar yang sehingga kini memanfaatkan lebih 34,281 penerima.

“Projek perintis Lot Desa Sejahtera di Kampung Perik, Padang Terap turut menunjukkan perkembangan positif apabila enam peserta pertama akan mula mendiami kediaman masing-masing bermula Ogos ini,” katanya.

Menurutnya lagi, inisiatif itu akan diperluaskan ke Mukim Sungai Limau, Yan dengan kerjasama sektor swasta, melibatkan pembinaan 116 rumah yang dijangka bermula pada suku keempat tahun ini.

Sementara itu, Sanusi berkata, segala agenda pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat turut diberi penekanan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Kedah menerusi peruntukan RM1.77 bilion bagi tempoh 2026 hingga 2030.

“Peruntukan tersebut akan digunakan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan termasuk pembangunan  infrastruktur jalan raya, sistem perparitan, jambatan, pembaikan rumah keluarga miskin serta projek lain yang memberi manfaat langsung kepada rakyat dan negeri,” ujar beliau.

Post a Comment

0 Comments