JANGAN SEKAT HAK KEDAH TEROKA REE, KERAJAAN PERSEKUTUAN WAJAR BERI KERJASAMA - SULTAN KEDAH

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan digesa tidak mewujudkan sebarang halangan pentadbiran terhadap usaha pembangunan negeri, termasuk dalam pengurusan dan penerokaan unsur nadir bumi (REE) yang menjadi hak Kedah.

Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah, sebagai sebuah negeri berdaulat serta kaya dengan sumber hasil bumi, hak dan kuasa Kerajaan Negeri untuk mengurus serta meneroka sumber mineral strategik itu hendaklah dihormati dan dipermudahkan semua pihak.

“Beta berkehendak Kerajaan Persekutuan memberi kerjasama dan memastikan tiada sebarang halangan pentadbiran berlaku di negeri Kedah.

“Amatlah rugi sekiranya perkara ini gagal dilaksanakan hanya disebabkan perbezaan pandangan dan pemahaman politik sehingga membelakangkan hak dan keperluan negeri,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-84 di Balairung Seri, Istana Anak Bukit, hari ini.

Sultan Sallehuddin turut menzahirkan kebimbangan terhadap kelewatan beberapa projek infrastruktur strategik di negeri ini, khususnya Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah/Anak Bukit yang masih belum disiapkan sejak sekian lama.

Menurut baginda, kelewatan projek tersebut menyebabkan kejadian banjir berulang dan terus menjejaskan kehidupan penduduk di kawasan terlibat.

“Beta mahu tindakan segera diambil agar rakyat Beta tidak lagi dibebani masalah yang sama,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin juga menasihatkan Kerajaan Negeri supaya mengurus kewangan secara berhemah serta mengambil langkah meningkatkan hasil negeri dalam suasana ekonomi semasa yang mencabar.

Baginda bagaimanapun menyambut baik usaha dilaksanakan Kerajaan Negeri dalam memacu pembangunan ekonomi dan yakin Kedah mempunyai asas kukuh untuk terus berkembang meskipun dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi serta geopolitik.

“Segala usaha pembangunan yang dilaksanakan, hendaklah memberi manfaat kepada rakyat,” titah baginda.

Sultan Kedah juga mahu tumpuan diberikan kepada usaha memperkukuh sektor perindustrian dan memperluaskan kawasan pembangunan industri kerana ia mampu menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan negeri.

Baginda turut menghargai peranan agensi Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan yang memudah cara kemasukan pelabur ke Kedah serta berharap usaha itu terus diperkasakan.

“Tindakan memperkasakan pendidikan, latihan kemahiran dan pembangunan teknologi, mesti diberi keutamaan bagi memenuhi keperluan pasaran masa hadapan. 

“Beta mahu graduan dan tenaga mahir kalangan anak-anak Kedah, menjadi ‘best brains of Kedah’, untuk berkhidmat di negeri ini,” titah baginda.

Menyentuh aspek kesejahteraan rakyat, baginda berharap agenda pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan secara berterusan dapat memberi impak menyeluruh dan berkekalan kepada rakyat.

Pada masa sama, Sultan Sallehuddin mengingatkan kekuatan sesebuah negeri bukan sahaja terletak pada kemajuan ekonomi, ia turut bergantung kepada nilai amanah, tanggungjawab dan semangat kebersamaan kalangan rakyat.

“Setiap lapisan masyarakat hendaklah memainkan peranan masing-masing dengan amanah dan tanggungjawab. Jika semangat kecintaan terhadap negeri terus dipupuk, Beta yakin Kedah akan terus melahirkan insan berwibawa serta cemerlang dalam pelbagai bidang,” titah baginda.

Baginda turut merakamkan penghargaan kepada Pegawai Tadbir Negeri Kedah, penjawat awam negeri dan Persekutuan, anggota keselamatan serta petugas barisan hadapan atas khidmat dan kesetiaan mereka dalam memastikan kestabilan negeri terus terpelihara.

Sultan Sallehuddin juga mengucapkan tahniah kepada semua penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Hari Keputeraan baginda serta mengingatkan agar kurniaan tersebut sentiasa dipelihara kerana ia mencerminkan martabat dan kehormatan Institusi Diraja Kedah.

Post a Comment

0 Comments