“SANUSI BIDAS FAHMI TAKUT KEMARAAN PAS DI JOHOR”


 FENOMENA 'GREEN WAVE' DIGERUNI PARTI LAWAN 

Oleh: Roslinda Hashim 

SUNGAI PETANI - Fenomena 'Green Wave' atau gelombang hijau yang dikaitkan dengan PAS semakin membimbangkan pihak tertentu sehingga pelbagai usaha dilakukan untuk menyekat kemaraan parti itu ke beberapa negeri.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kebimbangan itu jelas dilihat apabila terdapat gesaan supaya gelombang sokongan terhadap PAS dihentikan daripada terus merebak, termasuk di Johor.

"Dibuat macam-macam slogan untuk menahan kemaraan PAS. Mereka kata ’The Green Wave’. Saya dengar Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi) bercakap di hadapan masyarakat Cina supaya hentikan 'Green Wave' yang mula menyerap masuk ke Johor.

"Punya takut kepada kemaraan PAS. Apa salah Green Wave? Apa salah orang PAS? Kita bukan sakau duit orang, tidak ada rekod jenayah dan tidak pernah terlibat dengan rasuah ratusan juta ringgit," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Dana PRU16 PAS Kawasan Sungai Petani, di sini.

Menurut Sanusi, pelbagai slogan diwujudkan bagi mengekang kemaraan PAS yang semakin mendapat tempat kalangan rakyat, sehingga diwujudkan naratif kononnya gelombang sokongan terhadap PAS merupakan ancaman kepada masyarakat.

“Orang kata Green Wave ini bahaya. Bahaya di mana? Saya pun hairan. Kalau orang baik dianggap bahaya, saya tidak tahu apa lagi hendak kata. Apa salah Green Wave?

“Saya bahaya di mulut sahaja, mungkin kerana saya bercakap lantang dan tegur perkara yang saya rasa tidak betul, orang sakit hati,” katanya.

Beliau berkata, kekuatan PAS terletak pada integriti pemimpinnya serta keikhlasan ahli-ahli parti yang sanggup berkorban demi agama, bangsa dan negara.

“Pemimpin-pemimpin kita berintegriti, ahli-ahli kita hebat dan ikhlas mewakafkan diri untuk negara. Sebab itu saya percaya rakyat melihat PAS sebagai satu pilihan untuk membawa perubahan kepada negara.

“Rakyat tak ada pilihan lain untuk menyelamatkan Malaysia. Mereka perlu sertai ’Green Wave’ ini,” katanya.

Sanusi berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Fahmi Fadzil dalam sebuah majlis kempen PRN Johor yang meminta masyarakat Cina supaya menghentikan 'Green Wave' yang mula menyerap masuk ke Johor.

Menurut Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, peningkatan sokongan terhadap PAS didorong oleh pendekatan parti itu yang kini lebih terbuka dan sederhana dalam perkara yang tidak melibatkan dasar serta prinsip perjuangan.

Katanya, perubahan pendekatan itu menyebabkan semakin ramai masyarakat daripada pelbagai latar belakang memilih untuk bersama PAS.

"Alhamdulillah, selepas kita mengambil sikap lebih terbuka, kita nampak berbondong-bondong orang bersama PAS.

"Kita tidak boleh terlalu keras dalam perkara-perkara cabang yang bukan melibatkan dasar atau prinsip. Sebab itu PAS hari ini diterima semua golongan, termasuk mereka yang sebelum ini berada dalam parti lain," katanya.

Sanusi tegaskan, model dakwah dan pendekatan dibawa PAS kini lebih diterima segenap golongan termasuk bukan Islam, menyebabkan parti itu digeruni pihak lawan.

Post a Comment

0 Comments