ZAID MAHU BANTU PAS TANGKIS LABEL PARTI EKSTREM, YAKIN PAS MAMPU TADBIR NEGARA

 

Oleh: Roslinda Hashim 

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim tekad mahu membantu membersihkan imej PAS yang sering dilabel sebagai parti ekstrem dan antidemokrasi selepas beliau diterima sebagai ahli parti itu oleh kepimpinan tertinggi PAS.

Menurut beliau, antara tanggungjawab yang akan digalas selepas menyertai PAS adalah menangkis persepsi negatif terhadap parti tersebut, khususnya dakwaan bahawa PAS tidak sesuai memerintah negara berbilang kaum seperti Malaysia.

“Saya akan membalas kepercayaan yang diberikan itu. Saya akan bekerja keras untuk menangkis persepsi bahawa PAS adalah sebuah parti yang ekstrem dan anti-demokrasi serta tidak sesuai untuk Malaysia yang berbilang kaum,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Zaid berkata, PAS merupakan satu-satunya parti majoriti Melayu yang mempunyai kekuatan dan keazaman untuk menghapuskan ketidaksamaan, hegemoni serta layanan berasaskan kelas dalam negara.

Katanya, intipati ajaran Islam menjadi prinsip utama dalam pentadbiran negara diterajui PAS, dengan penekanan terhadap keadilan, integriti dan kebajikan rakyat.

“Di bawah pemerintahan PAS, tidak akan wujud keadaan di mana semua orang dikatakan sama rata, tetapi ada segelintir yang lebih istimewa daripada yang lain,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan PAS mampu mentadbir Malaysia bersama Ahli-Ahli Parlimen progresif yang sehaluan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Mengulas kritikan terhadap penyertaannya dalam PAS, Zaid berkata, beliau tidak bercadang membuang masa mempertahankan keputusan politik yang dibuat sepanjang kariernya.

Menurutnya, sepanjang 28 tahun berada dalam UMNO, beliau berusaha membawa perubahan sebelum dipecat kerana menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau kemudian meletakkan jawatan Menteri dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana percaya parti itu serius dalam agenda reformasi, namun mendakwa harapan tersebut tidak menjadi kenyataan.

Katanya, beliau turut menyertai DAP kerana beranggapan parti berkenaan memperjuangkan reformasi dan pernah ditawarkan peluang bertanding di Gelang Patah, namun ia tidak menjadi kenyataan.

“Sekarang saya diterima sebagai ahli PAS dan mudah-mudahan berpeluang menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum akan datang. Saya amat hargai peluang ini dan percaya masih mampu menyumbang kepada negara,” katanya.

Dalam masa sama, Zaid menyifatkan kritikan yang dilemparkan terhadap perjalanan politiknya sebagai sesuatu tidak wajar, termasuk dakwaan yang menganggap perjalanan politiknya sebagai satu tragedi.

Beliau menegaskan, hasrat seterusnya adalah untuk menjelaskan kepada rakyat bagaimana Malaysia boleh dibangunkan semula berasaskan prinsip PAS, dengan kepimpinan yang berteraskan ketakwaan, bebas daripada ketamakan, rasuah dan sikap angkuh.

“Keutamaan perlu diberikan kepada kebajikan rakyat biasa manakala keadilan mesti dapat diakses oleh semua tanpa sebarang pengecualian,” katanya.

Post a Comment

0 Comments