GUAN ENG DESAK AZAM BAKI DIGANTUNG TUGAS, USUL KHAS BAHAS DI PARLIMEN

 


Oleh: Roslinda Hashim 


ALOR SETAR - Penasihat DAP, Lim Guan Eng menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki digantung tugas serta-merta susulan kontroversi terbaharu membabitkan pegangan saham.

Ahli Parlimen Bagan itu juga mencadangkan satu usul khas berkaitan isu berkenaan dibahaskan di Parlimen sebelum sidang semasa berakhir pada 3 Mac depan.

Menurut beliau, pendiriannya itu selaras dengan kenyataan media Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bertarikh 12 Januari 2022 ketika beliau menjawat jawatan Setiausaha Agung DAP ketika itu.

“Majlis Presiden PH pada ketika itu telah menggesa agar Azam serta dua individu lain digantung tugas berhubung skandal pegangan saham bagi memberi laluan kepada siasatan bebas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata, cadangan supaya isu berkenaan dibahaskan sebagai usul khusus di Parlimen adalah wajar dan perlu dilaksanakan sebelum sidang Parlimen melabuhkan tirai awal Mac depan.

“Sepertimana yang dicadangkan oleh Majlis Presiden PH pada tahun 2022, saya juga bersetuju isu ini wajar dibahaskan sebagai satu usul khusus di Parlimen sebelum sidang semasa berakhir 3 Mac depan,” katanya.

Menurutnya lagi, gesaan itu kembali dibangkitkan apabila timbul kontroversi terbaharu selepas rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendedahkan Azam pada satu ketika tahun lalu memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Berhad serta kira-kira 4.52 juta saham dalam Awanbiru Technology Berhad.

“Menurut laporan sebuah portal, saham Velocity Capital Partner dipercayai dibeli pada harga sekitar RM1.5 juta, manakala saham Awanbiru Technology dianggarkan bernilai antara RM1.24 juta hingga RM1.38 juta pada suatu ketika,” katanya.

Tambah beliau lagi, Azam sebelum ini pernah terpalit kontroversi sama membabitkan pemilikan 1,930,000 saham dalam Gets Global Berhad (dahulunya KBES Berhad) pada 30 April 2015 yang bernilai kira-kira RM772,000 ketika itu.

“Pegangan tersebut kemudiannya dilaporkan menurun kepada 1,029,500 saham setakat 31 Mac 2016 dengan anggaran nilai sekitar RM340,000. 

“Selain itu, beliau juga dilaporkan memegang 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016,” jelas beliau.

Guan Eng tegaskan, isu integriti membabitkan jawatan tertinggi dalam SPRM tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan penelitian Parlimen secara terbuka demi memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan terus terpelihara.

Post a Comment

0 Comments