KENAPA SAYA MEMILIH PAS
Oleh: Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin
Ahli PAS
Mantan Penyelaras GERAKAN Reset
Mantan Ketua Bahagian BERSATU
Mantan EXCO Pemuda UMNO
Bagi mereka yang masih bertanya kenapa saya memilih PAS, izinkan saya jawab dan saya harap ini yang terakhir.
Bismillahirahmanirahim
Kalau saya masuk politik kerana jawatan, kuasa atau kekayaan, saya sudah lama meninggalkan UMNO pada tahun 2018. Ketika itu UMNO berada di zaman paling gelap dalam sejarahnya.
Parti tumbang, dihina, dicaci, ditertawakan oleh musuh dan juga sebahagian kawan yang tidak lagi percaya. Tetapi saya dan kawan-kawan UMNO tidak lari.
Saya kekal bersama UMNO ketika ramai mencari jalan keluar. Dalam pemilihan parti, saya diamanahkan dan dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian dan kemudian EXCO Pemuda UMNO Malaysia ketika parti berada di blok pembangkang 2018-2023.
Saya tidak menikmati kemewahan ketika itu. Tahun pertama hanya terima RM300 sahaja untuk jaga 49 cawangan pemuda LP. Selebihnya pandai-pandailah.. Tapi kami tak mengeluh sedikitpun.
Saya menjaga pergerakan Pemuda menggunakan wang hasil perniagaan sendiri. Saya jual kereta, jual rumah dan berkorban apa yang saya ada demi perjuangan yang saya percaya.
Namun yang dilihat oleh sesetengah pihak hanyalah tuduhan bahawa saya masuk politik untuk mencari kekayaan dan jawatan..
Hakikatnya, ketika UMNO kalah, hanya ALLAH dan sahabat-sahabat seperjuangan yang tahu apa yang kami lalui sehingga kerajaan PN-PH tumbang selepas 22 bulan.
Kemudian pada tahun 2022, ketika UMNO kembali menjadi kerajaan, saya pula mengambil keputusan keluar daripada UMNO. Saya meninggalkan jawatan AJK Bahagian nombor satu. Sebab saya sedih Chief dan Bossman saya dibuang dan digantung.. Jika saya gilakan jawatan, mengapa saya keluar ketika parti kembali berkuasa?
Selepas itu saya menyertai BERSATU secara 'automatik' selepas berjumpa DS Hamzah Zainudin. Hampir setahun tanpa sebarang jawatan sebelum diamanahkan menjadi Ketua Bahagian tanpa bertanding.
Apabila DS Hamzah dan Team Reset mengambil haluan baharu setelah beliau dibuang, saya kekal bersama mereka. Saya menjadi antara Ketua Bahagian pertama yang membubarkan bahagian bersama Bahagian Larut. Kami dicaci, dihina dan dianggap sudah tiada masa depan politik.
Empat bulan kami melalui fasa itu.
Kemudian saya diberi tanggungjawab sebagai Penyelaras KB2 Wilayah yang menjaga 13 bahagian di Wilayah Persekutuan. Malah jika mengikut perancangan, saya berpotensi memegang jawatan jauh lebih besar dalam parti baharu yang bakal ditubuhkan.
Tetapi, ketika DS Hamzah mengumumkan penubuhan parti baharu dan kawan-kawan saya mendapat berita gembira dan KEJAYAAN, saya sekali lagi membuat satu keputusan paling berat dalam perjalanan politik saya.
Saya memilih untuk tidak ke Tanah Merah dan membuat keputusan menyertai PAS sebagai AHLI BIASA. Bukan Ketua Bahagian. Bukan Pengerusi Negeri. Bukan Ahli Majlis Tertinggi. Bukan pemegang apa-apa jawatan. Hanya Ahli biasa.
Kalau saya mengejar jawatan, sudah tentu saya memilih laluan yang menjanjikan kedudukan lebih tinggi. Kalau saya mengejar kuasa, saya tidak akan melepaskan peluang yang sudah tersedia di depan mata. Kalau saya mengejar kekayaan, saya tidak akan menghabiskan wang, masa dan tenaga saya selama bertahun-tahun dalam politik.
Saya masuk politik bukan untuk menjadi kaya.
Saya masuk politik kerana prinsip.
Saya tidak pernah takut kehilangan jawatan kerana saya pernah berada di atas dan pernah juga berada di bawah. Saya tidak pernah takut kehilangan kuasa kerana saya tahu kuasa hanyalah pinjaman sementara. Dan saya tidak pernah takut kehilangan kedudukan kerana nilai seseorang bukan ditentukan oleh jawatannya.
Saya memilih jalan yang saya yakini betul.
Saya tetap menghormati dan akan terus bersama sahabat-sahabat Team Reset serta perjuangan yang dipimpin DS Hamzah, yang saya anggap sebagai Big Boss saya. Persahabatan dan perjuangan tidak pernah terhenti hanya kerana berbeza platform politik.
Jadi kepada mereka yang masih menuduh saya mengejar jawatan, saya hanya mahu bertanya satu perkara:
Di bahagian mana perjalanan politik saya menunjukkan bahawa saya mengejar jawatan, kuasa atau kekayaan?
Jika tidak, berhentilah menilai perjuangan orang lain hanya berdasarkan sangkaan.
Akhir kalam, politik bagi saya bukan sekadar soal parti, jawatan atau kedudukan. Politik adalah wadah untuk saya berkawan dan berjuang bersama mereka yang mahu melihat bangsa Melayu terus dibanggakan, agama Islam terus ditegakkan dan negara ini terus dipertahankan.
Kerana itu, saya tidak pernah melihat perbezaan parti sebagai alasan untuk bermusuh.
Budak UMNO kawan saya. Budak Wawasan sahabat saya. Budak PAS adik-beradik saya.
Cif Khairy Jamaluddin tetap adventure buddy saya. Shahril Sufian Hamdan budak bijak (panduan) saya
Kita mungkin berbeza bendera, berbeza pendekatan dan berbeza wadah perjuangan, tetapi jika matlamatnya untuk agama, bangsa dan negara, dan PALING UTAMA KEBAJIKAN RAKYAT, maka kita sebenarnya sedang berjalan ke arah yang sama.
Saya memilih jalan saya dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab. Saya tidak meminta semua orang bersetuju, tetapi saya berharap semua orang menghormati pilihan yang saya buat.
Mudah-mudahan ALLAH SWT memimpin langkah kita semua, menjauhkan kita daripada fitnah kuasa dan kedudukan, serta mengurniakan keikhlasan dalam setiap perjuangan.
Kalau tak puas hati juga, Anggap lah saya masuk PAS sebah nak kejar jadi Ustaz, Ok!!!!

0 Comments