DUA TOKOH KORPORAT SERTAI PAS, 357 AHLI BERSATU POKOK SENA IKUT JEJAK

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Gelombang kemasukan tokoh korporat, profesional dan bekas pemimpin pelbagai parti ke dalam PAS dilihat semakin rancak apabila tiga tokoh ternama menyerahkan borang keahlian PAS.

Individu yang menyertai PAS ialah tokoh korporat dan pelancongan, Dato’ Megat Shahrul Azman Abas yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Investment Corporation (FIC) Hospitality Management Sdn. Bhd. yang berpengalaman menguruskan hartanah dan aset perhotelan di dalam dan luar negara.

Beliau turut memegang beberapa jawatan penting, antaranya Naib Presiden Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO), Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Ahli Jawatankuasa Eksekutif PATA Malaysia Chapter, Ahli Lembaga Koperasi Anak Pahang (KOPEKAP) serta Penasihat Program Hospitaliti Politeknik dan TVET Malaysia.

Berpengalaman luas dalam industri hospitaliti dan pelancongan, termasuk menerajui Tanjung Sanctuary Langkawi yang kini dikenali The Ritz-Carlton Langkawi.

Pada 2007, beliau dilantik sebagai Ketua Pelancongan di Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), seterusnya memegang jawatan Naib Presiden Kanan di Syarikat Prasarana Negara Berhad (2011-2013).

Beliau diiktiraf sebagai Tokoh Pelancongan Langkawi oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia pada tahun 2010.

Megat Shahrul Azman yang memulakan kerjaya bersama Gopeng Berhad pada 1996 merupakan Akauntan Bertauliah berdaftar dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA) serta ahli Fellow Chartered Certified Accountants (FCCA), memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dalam Pelancongan dan Hospitaliti dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

Beliau juga telah mengikuti program eksekutif di Nanyang Technological University dan Cornell University, selain memegang pensijilan Certified Hotel Administrator (CHA) dan Certified Hospitality Trainer (CHT). 

Megat Shahrul Azman menyerahkan borang keahlian kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, sekali gus menjadi isyarat sokongan baharu golongan profesional terhadap perjuangan PAS menjelang pilihan raya.

Majlis penyerahan borang keahlian diadakan sempena Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) PAS Kedah di Kompleks PAS Kedah, pada Jumaat.

Turut menyerahkan borang keahlian, bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Penerangan, Dato’ Zainuddin Maidin, iaitu Haji Mazlan Mahmud yang pernah berkhidmat sebagai Pengurus Besar Menara Kuala Lumpur.

Sementara, pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Pokok Sena, Yahya Musa turut menyerahkan borang keahlian PAS bersama 357 ahli BERSATU yang mengambil keputusan meninggalkan parti tersebut untuk menyertai PAS.

Menurut beliau, borang berkenaan dikumpulkan menerusi gerakan pendaftaran bermula 9 Jun dan usaha menarik lebih ramai ahli BERSATU menyertai PAS sedang giat dijalankan.

Mengulas perkembangan itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kemasukan tokoh-tokoh berkenaan menunjukkan PAS semakin mendapat tempat kalangan masyarakat pelbagai latar belakang.                                                                                                                                                                                        “Berduyun-duyun akan menyertai PAS. Berbondong-bondong, orang-orang ternama, orang-orang kecil dan orang-orang besar akan menyertai perjuangan ini.

“Datanglah menyelami keseronokan kami dalam perjuangan bersama PAS. Dengan semangat inilah kita akan menyertai pilihan raya,” katanya.

Sehari selepas itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula mengumumkan 15 individu berprofil tinggi menyertai parti itu pada Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya di Seremban. 

Mereka ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Profesor Dr. Md. Nasir Ibrahim; bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rahimi Osman.

Tokoh lain, bekas EXCO Kerajaan Negeri Sembilan yang juga bekas ADUN PKR, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek; bekas Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Dr. Rosli Yaakup; bekas Ketua Bahagian BERSATU Lembah Pantai, Datuk Muqarrabin Mokhtarrudin. 

Beberapa bekas pemimpin UMNO turut diumumkan menyertai PAS termasuk Datuk Hamidah Osman (bekas Ketua Penerangan Wanita UMNO), Mustapha Shah dan Harfitri Mohd Dahlan (bekas Exco Pemuda UMNO), Datuk Ahmad Tarmizi Musa (bekas Setiausaha UMNO Bahagian Ketereh), Saiful Azli Saiful Rizwan (bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Padang Serai).

Bekas Pengerusi Kelab UMNO Manchester, United Kingdom, Dr. Md. Nizam Baharom; bekas Pengarah Perancang Bandar Majlis Perbandaran Seremban, Datuk TPr. Lokman Omar.

Dua lagi termasuk, Anas Iman Sudin (Pengerusi NGO)  dan bekas pemain bola sepak/pengulas sukan, Azlan Johar.

Post a Comment

0 Comments