“PN KUAT KERANA ADANYA PAS” - SANUSI
Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kedudukan PAS dalam Perikatan Nasional (PN) belum dimuktamadkan biarpun parti itu sudah menghentikan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkuat kuasa pada 8 Jun lalu.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan berhubung kedudukan PAS dalam PN dijangka dibincangkan dalam mesyuarat parti itu hari ini.
“Belum ditentukan lagi, belum dimuktamadkan. Hari ini ada mesyuarat PAS Pusat, tetapi saya tidak dapat hadir.
“Saya dimaklumkan mesyuarat itu akan menentukan masa depan PAS, sama ada masih bersama atau tidak (dalam PN),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO, hari ini.
Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah berkata, kewujudan gabungan politik baharu yang lebih besar adalah sesuatu yang baik dan mampu memperkukuhkan kekuatan pembangkang.
“Pada pandangan peribadi saya, kalau ada coalition (gabungan) lebih besar, lebih baik. PN kuat kerana adanya PAS,” katanya.
Pada Selasa, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan parti itu akan terus kekal dalam PN serta memperkukuhkan teras perjuangannya.
Muhyiddin berkata, keputusan itu diambil atas kapasiti BERSATU sebagai parti pengasas kewujudan PN.
Mengulas dakwaan bahawa tindakan Kerajaan Negeri Kedah yang masih mengekalkan EXCO daripada BERSATU bercanggah dengan keputusan PAS Pusat yang menamatkan kerjasama politik dengan BERSATU, Sanusi tegaskan, semua keputusan parti dibuat oleh kepimpinan setelah melalui proses perbincangan yang panjang dan teliti.
“Semua keputusan dan pendirian PAS dibuat oleh pemimpin, bukan di bawah. Pemimpin yang menjadi penjaga kepada parti.
“Dasar ditentukan oleh kepimpinan. Dia yang memimpin. Kalau datang dari bawah, macam mana ada pemimpin?” soalnya.
Beliau yang juga Menteri Besar Kedah menafikan wujud percanggahan antara keputusan PAS Pusat dengan pentadbiran Kerajaan Negeri.
“Tak bercanggah apa,” katanya.
Sanusi memaklumkan, keputusan untuk menamatkan kerjasama politik dengan BERSATU dibuat secara sebulat suara selepas melalui beberapa siri perbincangan di pelbagai peringkat parti.
“Semua keputusan dibuat dalam parti, dirunding, dibincang dan diperhalusi.
“Majlis Syura bermesyuarat dua kali, Jawatankuasa Harian hampir setiap minggu, kadang-kadang seminggu dua kali. Mesyuarat PAS Pusat juga dua atau tiga kali.
“Nak buat keputusan besar kena bincang, diperhalusi. Dalam PAS memang begitu caranya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Ketua Penerangan BERSATU, Tun Faisal Ismail Aziz bahawa keputusan PAS memutuskan hubungan dengan BERSATU tidak mendapat persetujuan sepenuhnya daripada Majlis Syura Ulama PAS.
Tun Faisal sebelum ini mendakwa wujud perbezaan pandangan antara kelompok ulama dan teknokrat dalam PAS berhubung keputusan tersebut.
Bagaimanapun, Sanusi menyifatkan dakwaan itu sebagai pandangan pihak luar yang tidak mengetahui proses sebenar dalam PAS.
“Tun Faisal ni dia tahu semua dalam PAS? Dia PAS kah? Yang saya tahu dia BERSATU, bekas UMNO,” katanya sinis.
Mengenai kedudukan Kerajaan Negeri Perlis yang turut melibatkan kerjasama PAS dan BERSATU, Sanusi berkata, tiada sebarang perubahan setakat ini.
“Kekal seperti itu sehingga ada perubahan. Tak ada perbincangan pasal ini pun,” katanya.
Sanusi sekali lagi menegaskan kedudukan EXCO BERSATU dalam Kerajaan Negeri Kedah kekal seperti biasa dan tidak menimbulkan sebarang isu ketika ini.
“Kekal, tak ada isu apa. Sebelum ini ada EXCO BERSATU yang kena pecat, tetapi saya tidak pecat dia daripada jawatan pentadbiran.
“Saya konsisten, istiqamah. Siapa yang kerja dengan baik, boleh duduk bersama,” katanya.

0 Comments