KONTROVERSI BABI DI KEDAH, BAGAIMANA USTAZ AZIZAN TANGANINYA

 


Muhamad Mat Yakim

Setiausaha Akhbar kepada YAB Menteri Besar Kedah

Di Kedah pada tahun 2008 hingga 2009 pernah tercetus isu besar dari hal babi apabila Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) ambil keputusan mahu robohkan Pusat Sembelihan Babi di Kampung Berjaya, Mergong yang telah menjejaskan kehidupan penduduk.

Pada masa itu, Kedah ditadbir oleh Pakatan Rakyat (PR) di bawah pimpinan Menteri Besar Ustaz Azizan Abdul Razak (Allahyarham). 

Ustaz Azizan daripada PAS dan selain PAS, komponen utama PR ialah PKR dan DAP.

Satu satunya wakil DAP dalam DUN Kedah penggal itu ialah Lee Guan Aik, ADUN Kota Darul Aman. Kampung Berjaya dalam DUN Bakar Bata, berjiran dengan Kota Darul Aman.

Cadangan perobohan pusat sembelih babi yang berlokasi di kawasan padat penduduk itu telah mencetuskan konflik dalam hubungan PAS dengan DAP.

Pengerusi DAP Kedah/ Perlis, Thomas Su (ADUN Pasir Pinji, Perak) telah datang ke Alor Setar bertemu Ustaz Azizan untuk mohon cadangan itu diberi pertimbangan semula.

Ustaz Azizan sebaliknya berkata kepada Thomas Su, “YB bukan tau cerita sebenaq. YB duk di Perak, saya duk di sini. Ini negeri saya. Hari-hari orang di tempat tu mengadu kepada saya. Bukan orang Melayu saja, orang Cina hat makan babi pun mengadu kepada saya. Depa tak tahan dengan bau dan kekotoran dari pusat sembelih tu. Memang tak sesuai pusat sembelih di kawasan perumahan. Bukan pasai babi saja, kalau lembu kambing pun tak sesuai.”

Adakah Ustaz Azizan u-turn kerana DAP? Tidak sekali-kali. Itulah bezanya pemimpin PAS dengan PAN. Walaupun PAN ketika itu belum lagi wujud tapi saya merujuk situasi itu dengan apa yang sedang berlaku di Selangor pada masa ini di mana isu babi sudah berlarutan begitu lama.

Pusat sembelih babi Kampung Berjaya di Alor Setar itu sudah wujud sejak awal 1990an, bukan baru. Walaupun sudah begitu lama, desakan penduduk supaya pusat itu ditutup atau diubah ke tempat lain sepanjang di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN). 

Walaupun terpaksa ‘bersagang’ dengan rakan koalisi, Ustaz Azizan tetap bertegas kerana yang lebih penting baginya ialah kesejahteraan penduduk sekitar. Seperti penegasannya kepada Thomas Su, yang komplen perihal masalah pencemaran pusat sembelih babi itu bukan orang Melayu sahaja.

Supremo DAP, Lim Kit Siang turun sendiri ke Alor Setar bertemu MB Kedah dan juga melakukan tinjauan di kawasan pusat sembelih itu.

Bagaimanapun ketegasan Ustaz Azizan tidak berganjak waima satu ‘hun’. Demikianlan tegasnya beliau. 

Akhirnya pada kira-kira jam 3.30 petang 1 Julai 2009, pihak MBAS mengambil tindakan merobohkan pusat sembelihan babi Kampung Berjaya, Alor Setar.

Akibat daripada itu, Thomas Su terus mengisytiharkan DAP Kedah/ Perlis putuskan hubungan serta merta dengan PAS di Kedah.

Kalaulah kejadian itu berlaku sekarang, kita boleh kata “ada aku kisah?” 

Itu di Kedah, di Selangor PAN lebih kisahkan DAP daripada yang lain. Saya tak mahulah perincikan yamg lain tu …

Sekarang sudah tahun 2026, pusat sembelih babi di Kampung Berjaya pun sudah tidak ada. Yang bising-bising dulu pun sudah diam!

Post a Comment

0 Comments