PAS ‘RUMAH KUKUH DAN SELAMAT’ UNTUK RAKYAT KEDAH

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Kehadiran kira-kira 30,000 ahli dan penyokong PAS pada himpunan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Kedah membuktikan kesungguhan parti itu untuk mempertahankan kemenangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serta mencapai sasaran memenangi kesemua 15 kerusi Parlimen dan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah.

Ketua Penerangan PAS Kedah, Zulkifli Yahaya berkata, semangat yang dipamerkan para petugas parti dalam himpunan tersebut menggambarkan iltizam tinggi dan tekad bagi mengukuhkan lagi kedudukan PAS di negeri ini.

Menurut beliau, sasaran yang digariskan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk memenangi kesemua kerusi Parlimen dan DUN di Kedah diyakini mampu direalisasikan dalam PRU16.

“PAS perlu lunaskan sedikit sahaja ‘baki tertunggak’ empat kerusi untuk ditawan, iaitu Parlimen Sungai Petani serta DUN Sidam, Bakar Arang dan Kota Darul Aman.

“Dengan kekuatan jentera yang ditunjukkan pada himpunan itu, sasaran tersebut insya-ALLAH mampu dicapai,” katanya dalam satu kenyataan.

Zulkifli memaklumkan, majlis yang dirasmikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar itu turut menyaksikan penyerahan borang keahlian PAS secara beramai-ramai oleh bekas anggota BERSATU di Kedah.

Katanya, tindakan mereka menyertai PAS selepas parti itu menamatkan kerjasama politik dengan BERSATU menunjukkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap perjuangan PAS selepas bersama dalam gabungan politik selama lima tahun.

“Penghijrahan secara besar-besaran dijangka terus berlaku dan PAS sedia menerima sesiapa sahaja yang mahu menyertai parti ini dengan hati terbuka. PAS juga sedia menerima permohonan keahlian daripada ahli parti politik lain yang mahu berhijrah atau individu yang belum pernah sertai parti politik.

“Seperti yang disebut oleh Dato’ Seri Muhammad Sanusi, marilah bersama-sama menikmati keseronokan berjuang dalam PAS,” ujarnya.

Menurut Zulkifli, keupayaan PAS menggerakkan puluhan ribu jentera parti dalam satu program besar membuktikan parti itu berada dalam keadaan kukuh dan stabil.

“ini bukan perkara biasa. Ia tidak mampu dilakukan oleh parti-parti yang bermasalah. Inilah perjuangan golongan yang tidak pernah meletakkan kepentingan peribadi lebih tinggi dari kepentingan ummah serta mardhotillah (keredhaan ALLAH SWT),” ujarnya.

Tambah beliau, peranan PAS tidak terhad kepada pilihan raya semata-mata apabila sukarelawan parti sentiasa berada di barisan hadapan membantu rakyat ketika berdepan musibah dan bencana.

“Rakyat bijak menilai hanya parti yang besar, kuat, mantap dan sentiasa bersama denyut nadi rakyat mampu menjadi tempat bergantung, serta memberikan rasa selamat dijadikan tempat berteduh. 

“Sebab itu tidak menghairankan apabila kaji selidik terkini menunjukkan majoriti rakyat Kedah masih mahu PAS terus menerajui pentadbiran negeri pada penggal akan datang,” katanya.

Zulkifli turut mendoakan agar Kedah terus dikurniakan kesejahteraan serta kemakmuran yang berpanjangan untuk seluruh rakyat negeri ini.


KOMPOSISI PRU15 KEDAH

15 KAWASAN PARLIMEN:-

PAS - 9 

BERSATU - 5

PKR - 1 


36 KAWASAN DUN:-

PAS: 21 

BERSATU: 8 

GERAKAN: 1 

BERSATU (keahlian digantung): 1 

BEBAS (Reset sokong kerajaan):  2 

PH: 3 (PKR 2, DAP 1)

Post a Comment

0 Comments