Oleh: Roslinda Hashim
KUALA LUMPUR - Penyertaan Parti Wawasan Negara dalam Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai nilai tambah yang mampu memperkukuhkan kekuatan sedia ada gabungan itu, khususnya dalam memperjuangkan agenda perubahan berteraskan kompetensi, integriti dan kestabilan negara.
Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penyertaan itu membuka lembaran baharu bukan sahaja kepada parti berkenaan, malah kepada usaha memperkukuhkan PN sebagai gabungan yang semakin diyakini rakyat untuk menerajui pentadbiran negara.
Menurut Ketua Pembangkang itu, sebagai parti berwajah Malaysia, Wawasan Negara membawa aspirasi rakyat daripada pelbagai latar belakang serta percaya masa depan negara hanya dapat dibina menerusi kerjasama, kesederhanaan dan komitmen terhadap kepentingan nasional.
“Wawasan Negara hadir sebagai jambatan yang menghubungkan lebih ramai rakyat, memperluaskan sokongan serta mengukuhkan lagi kedudukan PN sebagai sebuah gabungan yang inklusif, stabil dan bersedia mentadbir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Tertinggi PN atas kepercayaan menerima Parti Wawasan Negara sebagai parti anggota gabungan tersebut.
Sementara itu, Hamzah memaklumkan, Mesyuarat Khas Perwakilan Parti Cinta Malaysia (PCM) yang berlangsung pada 20 Jun lalu telah sebulat suara meluluskan penjenamaan semula parti berkenaan kepada Wawasan Negara.
Katanya, keputusan itu menandakan permulaan fasa baharu perjuangan parti dalam memperkukuhkan peranannya di peringkat nasional serta menyumbang kepada usaha penyatuan kekuatan politik demi masa depan negara yang lebih stabil
Penyertaan Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) sebagai anggota baharu PN diumumkan oleh Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar selepas mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN, malam tadi.
Ahmad Samsuri berkata, mesyuarat tersebut dihadiri oleh semua parti yang menganggotai PN, iaitu PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), GERAKAN dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

0 Comments