PEJUANG ANGGOTA BAHARU PN
Oleh: Roslinda Hashim
KUALA LUMPUR - Penyertaan Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) merupakan permulaan kepada penyatuan kekuatan politik yang lebih besar demi kepentingan negara.
Presiden PEJUANG, Dato’ Seri Utama Mukhriz Mahathir berkata, penyertaan PEJUANG dalam PN bukan sekadar kemasukan sebuah parti ke dalam gabungan politik, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada usaha menyatukan kekuatan ummah bagi menghadapi pelbagai cabaran dihadapi negara.
Katanya, Malaysia kini berdepan pelbagai isu ekonomi, sosial, keselamatan dan politik yang memerlukan satu bentuk kerjasama lebih kukuh dalam kalangan parti-parti yang berkongsi aspirasi sama.
“Kami menyambut baik keputusan PN menerima PEJUANG sebagai komponen baharu gabungan itu.
“Penyertaan ini adalah permulaan kepada penyatuan kekuatan yang lebih besar demi menyelamatkan negara daripada perpecahan, ketidakstabilan dan kegagalan kepimpinan yang semakin meresahkan rakyat.
“Semoga langkah ini menjadi titik permulaan kepada usaha yang lebih besar dalam menyatukan kekuatan ummah serta membina Malaysia yang lebih stabil, selamat dan makmur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mukhriz berkata, penyertaan PEJUANG juga selaras dengan pendirian parti itu bahawa kepentingan agama, bangsa dan negara perlu sentiasa mengatasi kepentingan parti serta individu.
“Perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pembentukan sebuah saf perjuangan yang lebih besar demi masa depan negara.
“Keutamaan mesti diberikan kepada usaha memperkukuhkan penyatuan ummah serta membina kekuatan politik yang mampu menawarkan kepimpinan yang lebih berwibawa dan diyakini rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, PEJUANG akan terus berpegang teguh kepada prinsip integriti, keadilan, tadbir urus yang baik serta komitmen memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
“Penyatuan membina kekuatan, bersama kita martabatkan Malaysia,” katanya.
Penyertaan PEJUANG dan Parti Cinta Malaysia (PCM) sebagai anggota baharu PN diumumkan oleh Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar selepas mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN, malam tadi.
Ahmad Samsuri berkata, mesyuarat tersebut dihadiri oleh semua parti yang menganggotai PN, iaitu PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), GERAKAN dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

0 Comments